Slider

'You help me, I help you' - Ismail berjanji akan luluskan semua permohonan penjaja & peniaga kecil jika dilantik semula sebagai PM selepas BN menang PRU15

Foto Kosmo Online



Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November dan pengundian pada 19 November depan. 


Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), banyak parti-parti politik sudah mula berkempen di kawasan masing-masing dan menabur pelbagai janji-janji untuk meraih pengundi.


Tidak terkecuali, Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan menabur janji untuk meluluskan semua permohonan penjaja dan peniaga kecil sekiranya dia dilantik semula sebagai perdana menteri selepas Barisan Nasional (BN) menang PRU15. 


Berucap di hadapan ribuan penjaja dan peniaga kecil dalam Majlis Pelancaran Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka semalam, Ismail menggesa komuniti itu membantunya apabila tiba gilirannya meminta bantuan mereka. 


"Penjaja sentiasa dekat di hati saya. Saya juga pernah menjadi penjaja waktu saya sekolah rendah lagi. Saya menjadi penjaja jual limau di kaki lima, jual ikan di pasar minggu pekan sehari termasuk Temerloh. 


"Apa yang penjaja bangkitkan, saya faham. Sebab saya pernah menjadi penjaja. Hidup saya sama dengan penjaja. Apa yang penjaja rasa, saya dah melalui dulu sebab itu setiap permohonan yang dibuat penjaja pasti saya luluskan," katanya. 


Ismail memaklumkan baru-baru ini juga dia ada menerima surat daripada persatuan penjaja yang memintanya menjadi penaung. Ismail bersetuju dan akan membantu persatuan penjaja. 


"Saya dengan ini bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia. Selaku penaung, kita akan jumpa dengan persatuan, akan bantu persatuan penjaja. 


"Saya cuma minta, kalau saya pohon bantuan, tolong bantu saya. Terima kasih, warga penjaja akan gunakan hak mereka pada 19 November ini dengan memberi kepercayaan kepada parti yang boleh bantu dan membela nasib penjaja," katanya. 


Ismail bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai jenis bantuan yang dia minta daripada komuniti itu dan menyerahkan kepada orang ramai mentafsir kenyataan itu sendiri. 


Ketika ditanya jika ia boleh ditafsirkan sebagai 'Saya tolong awak, awak tolong saya', Ismail menjawab "Yalah, you help me, I help you okaylah. Terserah kepada mereka untuk membuat atau beri pandangan mereka apa maksud itu," jelasnya. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo