Slider

'Anwar bapa pengkhianat sebenar' - Azmin Ali tak puas hati dirinya digelar pengkhianat Kerajaan PH



Bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang digelar "pengkhianat" berikutan pembabitannya dalam Langkah Sheraton menyifatkan bekas mentornya Anwar Ibrahim sebagai "bapa pengkhianat".


Azmin, yang juga ahli majlis tertinggi Bersatu memperincikan dua "langkah" oleh presiden PKR sepanjang kerjaya politiknya yang didakwanya sebagai 'gila kuasa'.


Bercakap kepada pemberita di Tambun, Perak, petang tadi, Azmin mengungkit "Langkah Kajang" yang didakwa bertujuan mencatur Anwar sebagai menteri besar Selangor pada 2014 dan "Langkah Port Dickson" untuk mencapai cita-cita presiden PKR itu menjadi perdana menteri.


“Bukankah itu pengkhianat? Beritahu saya. Abdul Khalid Ibrahim berada di pejabat (menteri besar) tetapi beliau telah dipecat dengan cara yang tidak demokratik.


“Dia (Anwar) adalah bapa pengkhianat sebenar,” kata Azmin (atas) kepada pemberita selepas memberi ucapan kepada penduduk Tambun, semalam.


Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu berada di Klebang Jaya untuk menawarkan sokongan kepada rakan gabungannya Ahmad Faizal Azumu yang bertanding di kerusi Parlimen Tambun menentang Anwar.


“Kemudian dia melancarkan satu lagi langkah, Langkah Port Dickson. Tiada seorang pun daripada anda membincangkan Langkah Port Dickson. Sudah ada wakil rakyat yang memenangi pilihan raya dan beliau masih hidup sehingga kini.


“Tetapi kerana dia (Anwar) begitu bercita-cita tinggi untuk menjadi perdana menteri, dia memaksa ahli parlimen itu meletakkan jawatan. Tetapi dia tidak menjadi perdana menteri."


Azmin berkata semasa Langkah Sheraton yang meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad tidak didesak untuk meletakkan jawatan.


“Sebab dia (Mahathir) bertengkar dengan Anwar, dia letak jawatan. Mengapa anda menyalahkan saya pasal perkara itu? Apabila Mahathir meletak jawatan, sudah tentu, mengikut Perlembagaan, Agong perlu memilih seseorang yang mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.


“Dan sokongan itu diberikan kepada Muhyiddin (Yassin), ia sangat lancar.


“Mengikut Perlembagaan, tidak ada pengkhianatan. Tanya dia (Anwar) siapa pengkhianat di Port Dickson dan Kajang,” tegasnya.


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo