Slider

'Kalau dia tak salah, mengapa minta pengampunan? - Hadi pertikai kredibiliti Anwar sebagai PM



Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan kredibiliti Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada Jumaat lalu, sama ada Ahli Parlimen Tambun itu hanya sekadar cukup syarat atau sebaliknya untuk menjawat jawatan penting itu. 


Menurut Hadi, Anwar sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selepas mahkamah mendapati dia bersalah dan meminta pengampunan diraja selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU14. 


"Kita tak tahulah yang jadi ketua kerajaan minoriti ini cukup syarat ke tidak, tak tahu, bekas dihukum oleh mahkamah kerana kesalahan-kesalahannya dan diminta pengampunan. 


"Kalau dia tak salah, mengapa minta pengampunan? Ini boleh jadi ketua negara?


"Kemudian dalam ucapan-ucapannya pula nak tentang rasuah, nak tentang salah guna kuasa, nak tentang itu dan ini. Nak tentang perompak harta negara, tetapi sekarang ini cuba bersekongkol dengan mereka yang macam itu dalam kerajaan kerana nak mencukupkan jumlah. 


"Ini satu penipuan terhadap rakyat, rakyat mesti balas penipuan ini jangan biarkan. Ini satu kemungkaran yang besar. Kita mesti lawan," katanya memetik laporan dari Utusan Malaysia. 


Hadi berkata demikian semasa menyampaikan ceramah umum sempena PRU-15 DUN Tioman di Kampung Mentara, semalam. 


Dalam ceramahnya itu, Hadi turut mendakwa Kerajaan Perpaduan akan dikuasai oleh DAP di mana ada ahli UMNO yang tidak menyokong keputusan UMNO/BN menyertai kerajaan perpaduan sehingga tercetusnya kekecohan di kalangan ahli-ahlinya di seluruh negara. 


Sumber: Utusan Malaysia

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo