Slider

Kanak-kanak maut akibat kepala & perut dihentak guna objek tumpul sehingga ususnya pecah



Seorang kanak-kanak perempuan maut disyaki didera oleh bapa tirinya dalam kejadian di kediaman keluarga itu, kelmarin. 


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang berusia 11 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri telah dihantar ke Hospital Serdang pada jam 11.33 malam semalam. 


Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia di dalam ambulans yang  ketika itu sedang dalam perjalanan ke hospital. 


"Hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar mendapati, punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul di bahagian kepala dan perut yang menyebabkan ususnya pecah. 


"Selain itu, terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan," katanya. 


Ekoran kejadian itu, suspek berusia 53 tahun telah ditahan pasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 2.25 petang tadi di perkarangan Hospital Serdang. 


Ketika disoal siasat, suspek mengakui dia ada memukul mangsa sebelum ini dan termasuk menggunakan baldi di dalam tandas kerana bengang dengan mangsa yang selalu menimbulkan masalah di rumah semasa ketiadaan isterinya di rumah. 


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati. 


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo