Slider

‘Mereka harap dapat jumpa sesuatu sebelum hari mengundi untuk serang saya kembali’ - Rafizi faham mengapa pejabatnya diserbu SPRM



Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, selepas mengisytiharkan aset dan hartanya sebanyak RM18.85 juta, mengundang banyak persoalan rakyat. 


SPRM pula memberi alasan, serbuan itu merupakan prosedur rutin selepas pihaknya mendapat aduan dari sebuah NGO, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Malaysia, yang curiga dengan harta dimiliki oleh Rafizi. 


Rafizi pada 2 November lalu mengisyitharkan hartanya sebelum bertanding di kawasan Parlimen Pandan pada PRU15, bagi memupuk kepercayaan orang ramai terhadap calon Pakatan Harapan yang bertanding. 


Bagi calon-calon parti lain pula enggan berbuat demikian dengan alasan tiada keperluan dan bukan perkara wajib, selain bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga


MalaysiaKini melaporkan, SPRM buat kali kedua menyerbu pejabat Invoke dan telah merampas dokumen syarikat dan lejar akaun


Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM, Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya hanya meminta penjelasan berhubung dokumen yang dirampas itu. 


Difahamkan, Jabatan Kastam juga akan menghantar notis untuk melakukan serbuan ke atas pejabat Invoke


Sementara itu, Rafizi menegaskan tindakan SPRM itu merupakan pendakwaan politik yang bertujuan untuk mengubah sentimen pengundi terhadap Pakatan Harapan sebelum hari pengundian pada 19 November, Sabtu. 


"Saya faham keadaan yang berlaku. Saya ingat BN pun faham yang mereka akan kalah PRU. Jadi masa berbaki dua, tiga hari ini terdesak mencari peluru kononnya dan oleh kerana saya berada di barisan depan mengetuai olahan kempen PRU ini yang menyerang UMNO, BN dan PN. 


"Saya faham motifnya adalah mereka berharap mereka boleh terjumpa sesuatu sebelum hari mengundi dengan harapan mereka boleh serang saya kembali, boleh mengubah tahap sokongan rakyat


"Ini peluang baik untuk SPRM untuk memahami (syarikat) start ups dan penilaian. Mereka minta contohnya akaun semasa pengarah syarikat dan saya boleh sebut kepada orang ramai dan Ketua Pengarah SPRM, Azam Baki, mereka akan terkejut untuk menemui bahawa saya tidak pernah mengambil satu sen pun daripada syarikat itu sejak hari pertama penubuhannya


"Malah syarikat itu masih berhutang duit saya," katanya. 


Jelas Rafizi lagi, tindakan pihak berkuasa menyerbu syarikatnya hanya akan memberi persepsi buruk terhadap BN kerana ia tidak sesuai dengan pengundi muda. 


"Ini akan menjadi isu pilihan raya yang lebih emosi dalam hari terakhir ini. Kerana orang muda fahami apa yang kami cuba capai di Invoke. Kumpul anak-anak muda balik dari luar negara, kerja baik, dapat pelaburan, dengan harapan anak-anak muda boleh jalankan perniagaan sendiri. 


"UMNO tak faham, ia dekat kepada orang yang lebih muda. Usia 23 tahun boleh menjalankan syarikat. Ini serangan terhadap aspirasi golongan muda. Banyak peluang, tak perlu makan gaji, mereka boleh uruskan syarikat mereka sendiri, boleh dapat pelaburan dari luar negara. 


"Lebih banyak mereka mahu lakukan intimidasi, semakin banyak kempen ini akan menjadi sebutan di kalangan pengundi muda. Isu ini juga boleh menarik pengundi muda ke arah PH untuk bukan sekadar melepasi 100 kerusi, tetapi diharapkan mendapat majoriti mudah di Parlimen," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo