Slider

Muhyiddin cabar tunjuk bukti dapat sokongan majoriti, Anwar sahut cabaran & usul undi tidak percaya pada 19 Disember di Parlimen



Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selamat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 petang di Istana Negara, semalam. 


Malangnya pelantikan Anwar itu dipertikaikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Perdana Menteri mengemukakan bukti dirinya memperolehi majoriti sokongan Ahli Parlimen. 


"Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.


"Tak apa, kita nak lihat dulu, biarlah beri dia peluang. Kalau dia boleh buktikan itu, mesti ada SD. Kami dalam PN mengikut arahan daripada YDP (Dewan Rakyat). 


"Kalau ada ahli Parlimen yang hendak beri sokongan, mestilah disokong dengan SD, bukannya surat dari langit ke, mana-mana ke, ataupun parti-parti tertentu. Itu semua tak boleh pakai, mengikut pandangan sayalah," katanya. 


Kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat perhatian Anwar yang kemudian memaklumkan dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri, usul pertama yang akan dibawa ke Parlimen adalah usul undi tidak percaya bagi menguji keabsahannya sebagai Perdana Menteri. 


"Saya ingin menyatakan kesediaan menguji keabsahan Kerajaan Perpaduan di Parlimen. Saya ingin jelaskan di sini bahawa kita menetapkan sidang Parlimen pada 19 Disember ini dan usul pertama selain angkat sumpah adalah usul dari kerajaan undi percaya. 


"Penyertaan setakat ini sehingga sebelum saya mengangkat sumpah adalah membabitkan tiga komponen terbesar iaitu Pakatan Harpaan, Barisan Nasional dan GPS. 


"Pakatan Harapan sebagai blok terbesar, diikuti BN dan GPS. Saya dapat pengesahan daripada Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bahawa mereka bersama dalam Kerajaan Perpaduan," katanya. 


Semalam, Barisan Nasional mengesahkan mereka akan menyertai Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh PN. GPS juga mengeluarkan kenyataan bersetuju untuk berbuat demikian. 


Kedua-dua parti politik itu bersetuju untuk menyertai PH selepas mendapat titah dan nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah untuk bersama membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil. 


Beberapa hari sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan dengan Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin di Istana Negara serta menasihatkan dua pemimpin berkenaan bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan. Namun, Muhyiddin menolak cadangan itu dengan alasan cadangan itu bertentangan dengan kehendak PN. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo