Slider

'Saya digelar beruk, monyet & gila seks hanya kerana ada bulu tangan lebat' - Asyikin



Hanya kerana dilahirkan dengan memiliki bulu tangan lebat, gadis berusia 24 tahun dari Muar, Johor ini terpaksa berdepan dengan persepsi negatif segelintir masyarakat yang menggelarnya seperti monyet, beruk dan termasuk mengaitkan dirinya sebagai gila seks. 


Asyikini Abdul Rahman, 24, mengakui dia terkesan dengan ejekan dan hinaan sedemikian sehingga membuatkan dia hilang keyakinan diri kerana berasa dirinya berbeza berbanding orang normal. 


Namun, kesedihannya terubat apabila dia sentiasa mendapat sokongan dari keluarga terutama ibunya, Azizah Osman, 61, membuatkan dia kembali bersemangat. 


"Saya mula sedar fizikal saya lain daripada kebanyakan rakan sebaya ketika di sekolah menengah. Ketika itu, saya dapati bukan hanya bulu tangan, tetapi bahagian kaki turut lebat. 


"Awalnya memang rasa tidak selesa dan 'down' yang teramat kerana saya ada enam adik beradik, empat daripadanya perempuan, tetapi hanya saya sahaja yang begini. 


"Ibu belum lagi usikan pelajar lain di sekolah yang bukan hanya gelar saya beruk, monyet dan gila seks, tetapi menuduh saya pernah melakukannya hanya kerana ada bulu tangan lebat," katanya. 


Pernah terniat di hatinya untuk membuang bulu di tangan dan kaki dengan menggunakan apa jua cara termasuk mencukur, 'wax' ata kaedah rawatan lain. Tetapi niat itu tidak diteruskan selepas dinasihatkan keluarganya agar tidak terlalu tertekan dengan kata-kata orang sekeliling, termasuk belajar menerima diri seadanya. 


"Seingat saya, saya pernah cukur bulu kaki pada usia 18 tahun, namun tidak meneruskannya kerana bimbang ia jadi bertambah lebat. Keluarga tidak menghalang, namun tidak juga beri galakan. Sebaliknya mereka beri kata positif serta inatkan saya supaya menyayangi serta menghargai diri. 


"Kini saya bertambah yakin dan berani bersuara jika ada yang mempersoalkan mengenai fizikal saya," katanya. 


Terdahulu Asyikin berkongsi gambarnya di platform TikTok untuk melihat reaksi orang ramai. Dia tidak menyangka akan menerima banyak pujian, tetapi tidak kurang juga ada yang mengecamnya. 


"Ketika mula aktif di TikTok dulu, saya ambil gambar diri sendiri dan muat naik kerana nak sangat tahu apa pandangan orang mengenai wanita berbulu tangan lebat. 


"Ada yang okay, banyak juga beri pujian terutama pengguna dari Afrika Selatan, Arab dan Sepanyol. Tetapi tidak dapat lari daripada kecaman. Ada minta saya cukur dengan alasan ia tidak susah, manakala beberapa lelaki anggap perkongsian saya menjijikkan. 


"Apa pun saya menghargai setiap pandangan dilonarkan kerana mereka ada hak untuk bersuara. Saya pula akan terus jadi diri sendiri dan sebenarnya," katanya yang juga berimpian untuk menjadi model pada suatu hari nanti. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo