Slider

'Saya sedia dipecat, tetap tidak akan bersama PH' - Ismail Sabri



Selepas Ahli Parlimen Sembrong, Hishamuddin Hussein menyatakan bantahan menyokong kerjasama Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH), kini giliran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob turut menyuarakan bantahan yang sama. 


Setiausaha Politik kepada Ismail Sabri, Mohd Fazmi Sayid Mohammad berkata, Ahli Parlimen Bera itu memilih untuk berkecuali dan berpendirian bahawa BN harus kekal menjadi pembangkang selepas tewas teruk di PRU15 Sabtu lalu. 


Kenyataan Mohd Fazmi itu bertambah jelas apabila anak perempuan bekas perdana menteri ke-9 itu memuat naik gambar tangkap layar perbualan WhatsApp group Ketua-Ketua Bahagian UMNO Malaysia. 


Dalam group tersebut, Ismail mendakwa beliau tidak akan menyokong PH untuk membentuk kerajaan pusat dan bersedia untuk dipecat. 


"Saya sedia dipecat, tetap tidak akan bersama PH," tulisnya. 




Terdahulu, 27 Ahli Parlimen BN mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PH di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pagi tadi untuk membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan persekutuan. 


Dalam masa yang sama, blok Muhyiddin pula mendakwa PN mempunyai lebih dari 112 surat akuan berkanun (SD) yang menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu untuk menjadi Perdana Menteri ke-10. 


Istana Negara memberi tempoh sehingga jam dua petang esok untuk ketua parti atau gabungan politik untuk mengemukakan calon Perdana Menteri ke-10 dan sekali gus menubuhkan kerajaan persekutuan baharu. 


Sumber: Instagram Nina Ismail Sabri

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo