Slider

'SPRM serbu pejabat saya, tapi tak siasat skandal RM2 bilion' - Isytihar harta RM18 juta, syarikat Rafizi diserbu SPRM



Rafizi Ramli mendakwa syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd telah diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam tatkala dia sedang berkempen. 

Dalam masa yang sama, dia turut mempertikaikan tindakan SPRM yang tidak bertindak menyiasat beberapa skandal membabitkan pemimpin BN dan PN, meskipun telah didedahkan lebih awal sebelum ini. 


"Hari ini, sedang saya berkempen, SPRM datang serbu pejabat saya, tahan budak-budak saya selama tujuh jam. Kita cakap pasal skandal RM2 bilion (projek tebatan banjir), dia tak siasat. 


"Kita cakap pasal kapal LCS dan sudah tunjuk bukti mengenai Latiff Ahmad (bekas menteri pertahanan), tunjukkan wang RM200 juta yang masuk ke syarikat palsu, dia tak siasat. 


"Satu sen pun yang membabitkan syarikat saya adalah wang saya dan pelabur, bukan wang rakyat. Saya ambil duit poket saya bayar kepada 150 budak yang pandai untuk didik mereka dalam perniagaan. 


"Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ini, dia hantar pegawai dia serbu. Sampai jam 9 tadi masih kena kacau," dakwanya.


Terdahulu, SPRM memaklumkan pihaknya akan membuka kertas siasatan susulan pengisytiharan harta yang dilakukan oleh Rafizi, setelah menerima laporan yang dibuat oleh sebuah NGO. 


Pengerusi Perhubungan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Syed Abdul Aziz bercakap kepada media ketika hadir membuat laporan terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.



Rafizi menegaskan, tindakan SPRM itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus membuat pendedahan mengenai skandal projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang didakwa membabitkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man. 


Malah, Rafizi mendakwa dia mempunyai bukti lain yang menunjukkan projek itu telah diluluskan walaupun Parlimen telah dibubarkan, jelas perbuatan itu telah melanggar undang-undang. 


"Saya nak tengok apa Azam Baki dan SPRM jawab selepas ini. Tuan Ibrahim ingat saya mempunyai satu atau dua dokumen. Selalunya kalau saya mula dedahkan sesuatu, saya boleh heret sampai berbulan-bulan," katanya. 


Sebelum ini, Rafizi menuntut penjelasan dari Tuan Ibrahim mengenai status projek kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan. 


Dakwanya, kementerian itu sedang dalam proses menganugerahkan tender terbabit secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor menerusi surat bertarikh 7 Oktober 202, sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara. 


Namun, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan itu dan menjelaskan surat yang ditunjukkan oleh Rafizi itu bukan dikeluarkan olehnya atau kementeriannya, selain tarikh surat dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo