Slider

Tak puas hati dipatuk, budak gigit ular tedung sampai mati



Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di India, bertindak menggigit seekor ular tedung sehingga mati selepas reptilia itu melilit lengan dan mematuknya. 


Mangsa yang hanya dikenali sebagai Deepak, terdahulu diserang oleh ular tersebut semasa sedang bermain di luar rumah dalam kejadian yang berlaku di sebuah perkampungan terpencil, Pandarpadh, di wilayah Chhattisgarh, India pada 31 Oktober lalu. 


Deepak yang terkejut melihat ular itu melilit lengan dan mematuknya, terus segera menggoncang tangannya agar haiwan berbisa itu melepaskan tangannya. Malangnya, perkara itu tidak berlaku.


Dalam kesakitan dan reptilia itu pula enggan melepaskannya, Deepak membuat keputusan untuk memberi ular itu merasa 'ubatnya sendiri' dengan menggigitnya sehingga mati.


"Ular tedung itu tak berganjak apabila saya goncangkan tangan, apa lagi.. saya pun terus menggigitnya sebanyak dua kali. Kejadian berlaku dengan sangat pantas," kata Deepak. 


Selepas kejadian itu, Deepak segera dikejarkan ke hospital dan ditahan untuk pemantauan lanjut. 


Doktor yang melakukan pemeriksaan memaklumkan, Deepak bernasib baik kerana dia hanya terkena patukan kering, bermaksud ular itu tidak mengeluarkan sebarang racun ketika mematuk Deepak. 


"Deepak tidak menunjukkan sebarang gejala dan dia pulih dalam masa yang singkat kerana gigitan ular itu kering serta tiada sebarang racun berbisa dikeluarkan," katanya. 


Kes penduduk tempatan terkena patukan ular adalah perkara biasa berlaku di India. Kajian terbaru yang diterbitkan pada 2022 mendedahkan bahawa, lebih 85 peratus kematian akibat gigitan ular yang direkodkan pada 2019 berlaku di tempat yang sama. 


Sumber: Mothership.sg


none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo