Slider

Tikus pamer aksi kung-fu untuk elak jadi makanan burung gagak



Seekor tikus melakukan gerakan mempertahankan diri seperti kung-fu untuk mengelak dirinya menjadi santapan seekor burung gagak, berjaya dirakam. 


Terdahulu, tikus itu bertindak melarikan diri sebaik saja terserempak dengan jurugambar berkenaan tanpa menyedari gerak-gerinya sedang diperhatikan pemangsa berhampiran. 


Burung gagak itu kemudian keluar secara mengejut dari celahan tanaman hiasan lalu menyambar ekor tikus tersebut membuatkan haiwan kecil itu berpusing-pusing dan sesekali melakukan gerakan seperti berkung-fu ala Jackie Chan, untuk menunjukkan kepada burung itu bahawa dia tersilap memilih mangsa.


Paul Briggs, 57, berkata, insiden itu berlaku di depan matanya sendiri di Wollaton Park, Nottingham dan sempat merakam beberapa gambar detik yang jarang berlaku itu. 


"Saya melihat tikus itu berlari melepasi saya dan tiba-tiba seekor burung gagak keluar dari celahan tanaman hiasan lalu menangkap ekornya. Kebetulan saya membawa kamera dan sempat merakam detik-detik itu. 


"Mujur dia (tikus) pandai berkung-fu dan berjaya melepaskan diri. Tikus itu keluar dari semak sekali lagi selepas burung gagak itu beredar. 






"Saya ada kamera yang tetapannya telah diubah kepada tetapan tertentu. Saya tak menyangka akan dapat merakam aksi haiwan kecil itu," katanya. 


Menurut Paul, taman Wollaton mempunyai keluasan 500 ekar dan merupakan syurga bagi pelbagai jenis burung di mana pengunjung gemar datang memberi makanan seperti benih dan kacang kepada burung-burung di situ. 


Paul yang menetap di Sheffield berkata, "Ia adalah aksi yang sebenar dan saya gembira tikus itu berjaya menggunakan kemahirannya. Ini bukan set foto yang saya jangka untuk ambil, tetapi ia benar-benar mengujakan," ujarnya. 


Sumber: Daily Mail

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo