Slider

'Undi BN adalah undi untuk Zahid jadi PM, hanyalah propaganda pihak lawan kelirukan rakyat' - Ismail Sabri



Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri menyifatkan propaganda undi BN adalah undi untuk Zahid menjadi Perdana Menteri ke-10 adalah cerita dongeng dari pihak lawan untuk mengelirukan rakyat. 


Ismail sekali lagi menegaskan bahawa dia adalah calon tunggal sebagai perdana menteri sekiranya Barisan Nasional berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini. 


Propaganda murahan itu katanya dibuat oleh pembangkang bagi tujuan mengurangkan sokongan terhadap BN. 


"Seluruh kepimpinan BN jelas mengatakan bahawa saya satu-satunya calon Perdana Menteri BN, tetapi kita tahu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) akan cuba menjual cerita dongeng mereka. 


"BN jelas apa yang perlu kita lakukan, dari awal lagi kita sudah umum siapa calon perdana menteri dan manifesto kita bukan sahaja menyentuh soal ekonomi tetapi transformasi institusi," katanya. 


Tambah Ismail, pihak lawan juga dilihat sudah ketandusan idea untuk menyerang BN sehingga berulang kali menggunakan isu calon Perdana Menteri untuk memecahkan kepimpinan UMNO dan BN. 


Sebelum ini, media melaporkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata sekiranya BN menang PRU15, pihaknya akan mengusulkan nama Ismail Sabri dan beberapa lagi nama lain sebagai calon Perdana Menteri untuk diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Apabila ditanya oleh wartawan sama ada nama dirinya termasuk dalam senarai pencalonan, Zahid segera menyanggah pertanyaan itu yang dikatakan tidak relevan dan terus beredar meninggalkan wartawan asing berkenaan. 


Bagi melawan propaganda itu, BN melalui Ismail Sabri melakukan serangan balas dengan mengatakan bahawa satu undi kepada PH adalah satu undi untuk DAP berkuasa semula di Putrajaya. 


Ia sekali gus mengingatkan kepada orang ramai mengenai kegagalan PH yang hanya berkesempatan mentadbir kerajaan pusat selama 22 bulan, sebelum digulingkan oleh Bersatu yang bertindak keluar dari PH untuk (Langkah Sheraton) bagi mewujudkan kerajaan campuran (Bersatu, PAS dan BN). 


Sumber: Free Malaysia Today, Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo