Slider

'PM jadi Menteri Kewangan supaya tak timbul isu' - Rafizi pertahan Anwar Ibrahim



16 September 2015, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Perdana Menteri tidak sesuai memegang jawatan Menteri Kewangan. 


Dan terbaru, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan menjawat jawatan Menteri Kewangan dalam pembentukan Kabinet baharu menimbulkan banyak reaksi orang awam. Ada yang mengeji, tidak kurang juga yang berpendapat Ahli Parlimen Tambun itu terpaksa kerana tiada pilihan. 


Dalam sidang media hari ini, Rafizi tampil mempertahankan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan disebabkan keadaan luar biasa bagi mengelakkan perebutan rakan-rakan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan. 


"Kalau ikut pandangan saya, secara idealnya kita pisahkan jawatan Menteri Kewangan dengan Perdana Menteri. Dan pendirian itu tidak berubah, saya tidak berpendapat bahawa hanya kerana keadaannya sekarang ini mendesak dan kita kena ambil pendirian itu tidak bermakna bahawa (amalan) itu perlu diteruskan. 


"Keadaan luar biasa, kita berada dalam keadaan tidak ada mana-mana parti politik yang boleh membentuk kerajaan dan perlu bergabung. 


"Pada masa yang sama juga kita perlukan kepimpinan ekonomi yang kuat dan menjadi teras kepada program kerajaan. Jadi, pada pandangan saya, itu adalah satu keputusan yang sangat sukar untuk diambil sebenarnya. 


"Kerana bila kita ada gabungan-gabungan yang masing-masing membentuk kerajaan, sudah tentu setiap komponen mahukan jawatan menteri kewangan itu berada di pihak mereka. 


"Contohnya ada orang daripada PH yang menjadi menteri kewangan pun, itu akan menjadi masalah kepada BN. Kalau daripada BN, akan menjadi masalah kepada PH, GPS dan lain-lain. 


"Oleh kerana disebabkan keadaan luar biasa sekarang, jadi bagi saya keputusan itu sesuai dibuat pada masa sekarang iaitu senang bagi Perdana Menteri yang menjadi Menteri Kewangan supaya tidak timbul tentang isu gabungan yang berbeza," katanya. 


Bagaimanapun kata Rafizi, keadaan itu boleh diperbetulkan semula selepas kerajaan perpaduan melangkah ke hadapan dan segala urusan pentadbiran berjalan lancar. 

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo