Slider

Wanita habiskan masa 12 tahun menyimpan wang untuk pastikan adik lelakinya kaya & mudah mendapat pasangan



Seorang wanita di China baru-baru ini mencetuskan kontroversi di media sosial selepas mendakwa dia telah menghabiskan masa selama 12 tahun untuk cuba mengumpul wang bagi memastikan adik lelakinya mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk mendapatkan pasangan hidup. 


Wanita yang tidak dinamakan itu berusia 33 tahun dari Wilayah Anhui berkata, dia mengusahakan sebuah restoran kecil dengan perolehan bulanan sebanyak 100,000 yuan (RM62,442). 


Namun, dia enggan menggunakan hasil keuntungan perniagaan untuk dirinya sendiri sejak 12 tahun lalu. Ini kerana dia telah membeli rumah dan sebuah kereta baharu untuk adiknya, selain menghadiahkan restorannya. 


"Saya hanya akan berfikir tentang diri saya selepas adik saya berkahwin. Saya masih boleh menunggu (untuk berkahwin). Sejak empat tahun lalu, saya sangat kedekut walaupun mahu membeli pakaian baru untuk diri sendiri," katanya. 


Wanita itu berkata, dia masih belum dapat membeli rumah untuk dirinya sendiri dan buat masa ini dia lebih mengutamakan adik lelakinya.


Di China, golongan lelaki dikatakan sukar mendapat pasangan hidup berbanding negara lain. Perkara ini berlaku akibat dari pelaksanaan dasar satu keluarga satu anak yang diperkenalkan oleh Kerajaan China sejak beberapa dekad lalu. 


Ramai pasangan di kawasan luar bandar memilih untuk mempunyai anak lelaki, mengundang kepada pengguguran selektif jantina dan juga pembunuhan bayi bagi memastikan anak tunggal mereka adalah berjantina lelaki. 


Menurut mereka, lelaki cukup kuat untuk bekerja dan mempunyai peluang yang cerah untuk berjaya dan menjaga ibu bapa mereka di hari tua. 


Kenyataan wanita itu mengundang perdebatan hangat di media sosial di mana majoriti netizen bersimpati terhadapnya, malah ada yang menuduhnya tidak memberi contoh yang baik. 


"Adik dia tak boleh kerja atau macam mana? Ini tidak adil. Semakin banyak dia memberi kepada adiknya, semakin banyak adiknya mengambil kesempatan," kata netizen. 


Sumber: Oddity Central

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo