Slider

Diejek sebab anggap Charles & Keith sebagai jenama mewah, pengasasnya jemput remaja berkenaan untuk lunch bersama



Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Singapura yang baru-baru ini diaibkan oleh segelintir individu di TikTok hanya kerana menganggap jenama Charles & Keith sebagai jenama mewah, telah dijemput untuk bertemu dengan pengasas jenama berkenaan. 


Baca: (Video) Remaja dapat handbag Charles & Keith daripada bapanya, ditertawakan sebab buat kapsyen 'My first luxury bag'


Zoe (Zohtaco) pada 8 Januari lalu berkongsi video kegembiraannya menerima hadiah beg tangan jenama Charles & Keith dari bapanya. Zoe menganggap jenama itu adalah jenama mewah, namun ada yang tidak bersetuju dan mentertawakannya. 


Zoe kemudian tampil menjelaskan bahawa keluarganya bukan berasal dari golongan berada dan sudah tentu pemberian bernilai S$80 atau RM262 itu adalah amat berharga, lebih-lebih lagi dihadiahkan oleh bapanya. 


Sejak tularnya video tersebut, ramai netizen di seluruh dunia menyatakan sokongan terhadap Zoe dan mengecam golongan yang memandai-mandai mengajar orang lain mengenai erti kemewahan mengikut kehendak mereka. 


JEMPUTAN MAKAN TENGAH HARI BERSAMA CHARLES & KEITH


Menurut jurucakap Charles & Keith, Zoe dan bapanya telah dijemput oleh syarikat berkenaan untuk makan tengah hari bersama, serta bertemu dengan pengasasnya.


"Hati kami benar-benar tersentuh apabila melihat video dan komen-komen (netizen di TikTok Zoe). Tiada tempat untuk pembuli, tetapi kami sangat kagum dengan budi bicara dan kerendahan hati Zoe dalam menangani situasi ini dengan bijak jauh melebihi usianya," kata jurucakap berkenaan. 


Difahamkan, Zoe dan keluarganya berpindah ke Singapura sudah hampir 13 tahun. Bapanya berpindah ke negara itu pada 2009 dan dia bersama adik-beradiknya yang lain menyusuli beberapa tahun selepas itu. 


"Kami rasa sangat bersyukur dapat tinggal di bandar yang cantik ini dan menyukai setiap sudut mengenainya terutamanya makanan!" katanya. 


Zoe mengakui dia turut terkejut apabila mengetahui video tersebut viral dan tidak menjangka akan mendapat banyak perhatian seperti itu. 


@zohtaco

thank you takagi ramen for the treat! eternally grateful &lt33 AND HAPPY 14K FOLLOWERS :0!! WOAAAH

♬ Paris - Taylor Swift


Selain Charles & Keith, Restoran tempatan, Takagi Ramen, turut menawarkan baucar bernilai S$80 kepada remaja itu. Zoe kemudian membawa bapa dan adik lelakinya datang ke premis tersebut untuk menjamu selera. 


Sumber: Mothership SG

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo