Slider

Golongan berpendapatan rendah tertekan, pengusaha makanan & minuman naikkan harga hingga 40%



Pengusaha gerai dan restoran dilaporkan terpaksa menaikan harga makanan dan minuman dari 10 hingga ke 40 peratus berikutan kenaikan harga barang mentah pada ketika ini. 


Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, berdasarkan tinjauan harga purata makanan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, berlaku peningkatan harga makanan menyebabkan golongan yang bekerja dan makan di luar setiap hari, khususnya golongan berpendapatan rendah, terkesan dengan kenaikan tersebut. 


"...harga daging dan ayam meningkat. Akibatnya inflasi ayam dan daging tertinggi berbanding barangan lain telah meningkatkan harga makanan masak di kedai makan, termasuk di gerai. Hampir semua restoran kini meningkatkan harga, malah ada yang caj hingga 60 sen segelas air kosong. 


"Aduan diterima daripada pengguna mendapati pengusaha gerai dan restoran menaikkan harga pada kadar 10 hingga 40 peratus menyebabkan pengguna berasakan kenaikan itu terlalu tinggi dan menjejaskan pengunjung yang menjadi pelanggan harian.


"Pengusaha memberi alasan terpaksa menaikkan harga kerana harga bahan mentah seperti minyak masak, gula, sayuran, ikan, bijiran, telur dan daging daripada pembekal telah dinaikkan," katanya. 


Bagaimanapun, jika tindakan itu diteruskan tanpa kawalan, pengusahakan dijangka akan terjejas apabila para pengguna mula membuat pilihan sama ada mahu membeli atau tidak. 


"Golongan berpendapatan rendah yang tidak punya pilihan melainkan membeli makanan (di luar) akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat. Menaikkan harga makanan masak secara berlebihan akhirnya akan menjejaskan peniaga sendiri apabila pengguna membuat pilihan," ujarnya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo