Slider

'Suka saya tegaskan budaya derma dah jadi darah daging ahli PAS' - Pesuruhjaya PAS Perak nafi rasuah pengundi di PRU15



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini sedang dilanda isu pemberian wang tunai semasa PRU15 yang didakwa sebagai rasuah. Namun, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria pula tampil mempertahankan parti bahawa dakwaan itu tidak betul, sebaliknya apa yang diberikan itu adalah derma.


Dalam kenyataannya, Razman menegaskan bahawa budaya derma telah menjadi 'darah daging' perjuangan anggota PAS dan perkara itu hanya dilihat menjadi satu kesalahan bagi mereka yang sudah biasa bergelumang dengan rasuah. 


"Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli PAS. Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.


"Bagi PAS dan ahlinya, setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam," katanya. 


21 Januari lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang tunai oleh PAS kepada pengundi pada PRU15 lalu adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya. 


Kenyataan itu dibuat selepas UMNO Terengganu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman pada 3 Januari lepas. 


Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kemudian membidas kenyataan Hadi yang dianggap sebagai hipokrit. 


"Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah," katanya yang turut meminta Hadi jangan bermain dengan agama yang akan menyebabkan orang ramai tidak menghormati golongan ulama. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo