Slider

(Video) Kanak-kanak ditemui terperangkap dalam kontena selama 5 hari



Tular di media sosial video penemuan seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Fahim, dalam sebuah kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Rabu lalu. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja operasi perkapalan yang memaklumkan penemuan kanak-kanak berkenaan. 


Berdasarkan laporan, pengadu yang ketika itu sedang menguruskan kapal masuk ke Dermaga Perlabuhan Barat dan memeriksa sebuah kontena kosong, terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena sebelum mendapati seorang kanak-kanak berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalamnya. 


Tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang ditemui dengan mangsa dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan. 


Siasatan lanjut mendapati, kontena tersebut dibawa oleh sebuah kapal MV Integra yang membawa kontena-kontena mengandungi muatan barangan am itu bertolak dari Chittagong, Bangladesh pada 12 Januari lalu dan tiba di Pelabuhan Barat pada 17 Januari. 




Mangsa dipercayai masuk secara haram dalam kontena ketika kapal berkenaan berlabuh di Chittangong. 


Namun, mangsa pula menjelaskan dia sebelum itu sedang bermain bersama rakan-rakannya di Chittagong dan masuk ke dalam kontena yang kemudian terkunci menyebabkan dia terperangkap dalam kontena itu selama enam hari sebelum ditemui pengadu. 


Selepas selesai mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil, mangsa telah dihantar pulang ke negara asal semalam, menggunakan kapal yang sama. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo