(Video) 'Kau bayarlah RM20,000, aku geleklah' - kata Saripah, tapi ditegur Ustaz Ahmad Dusuki



Beberapa hari lalu, selebriti Ifa Raziah atau nama sebenar, Saripah Raziah Mustapha, dikecam netizen kerana menari bergelek di sebuah majlis akikah bersama dengan beberapa selebriti lain. 


Bagi netizen, perbuatan Ifa dan yang lain itu adalah tidak beradab kerana tidak menghormati majlis akikah yang sepatutnya disambut secara sederhana dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran. 


Berkata kepada Kosmo, Ifa menjelaskan dia adalah penyanyi dangdut dan sememangnya tugas dia untuk menyanyi serta bergelek. 


"Saya penyanyi dangdut, sebagai penyanyi apa yang saya kena buat ialah menyanyi, menghiburkan dan bergelek. Selama ini, gelek yang beri saya makan. 


"Nak nyanyi dangdut kena berdiri tegak ke? Selama 27 tahun menjadi penyanyi, gelek saya itu yang beri saya makan. Kalau saya tak bergelek, siapa nak panggil saya buat persembahan?


"Orang bayar saya berpuluh-puluh ribu untuk menyanyi. Ini cara saya cari makan, bukannya saya berkelakuan tidak senonoh dan keterlaluan," katanya. 


Menerusi video yang dimuat naik di Instagramnya tiga hari lalu, Ifa menjelaskan dia menerima bayaran RM20,000 jika ada pihak yang mahu dia bergelek. 



"Kau bayarlah aku RM20,000 aku geleklah. Kau ingat aku bergelek tak ada hasil ke? Kau ingat aku gelek free ke? Semua gelek aku tu masuk duit tau. Bukan free tau, aku buat kerja dalam dunia ni tak ada free tau, semua berbayar," tegasnya. 


Jelasnya lagi, dia bukan perempuan murahan dan ada harga selain menganggap dirinya masih bernilai di pasaran. 


"Kalau masuk duit dalam akaun, clear, saya boleh gelek. Haa, dengan bayaran. Tiada benda free dalam dunia. 


"Saya bukan perempuan murahan, saya ada maruah. Saya ada harga, nilai tu ada. Masih laku di pasaran, bukan tak laku. Lainlah kalau tak laku, kau bayar free pun orang tak nak tengok. Kau tak bayar pun orang tak nak tengok. Itu tak lakulah. 


"Ini masih lagi ada permintaan, masih ada sambutan bermakna kita ada nilai di situ," ujarnya. 


Bagaimanapun, kenyataan Saripah itu dibidas oleh Ustaz Ahmad Dusuki yang memberi peringatan bahawa pendapatan dari kerja sedemikian tidak akan dapat dibawa masuk ke kubur. 


"Tak semua yang boleh bawa masuk duit itu menjadi keuntungan bagi kehidupan kita, yang bimbang jika yang masuk duit itu membawa kepada kecelakaan di masa depan kita. 


"Setiap mukmin akan disoal di hadapan Allah nanti dari mana ia mendapatkan hartanya dan kemana ia membelanjakan hartanya di jalan Allah. 



"Jika hartanya hanya mengenyangkan perutnya, tergolek-goleklah ia di akhirat nanti, menjawab di hadapan Allah, lebih-lebih lagi hartanya dari sumber menggelek-gelek punggungnya di khalayak ramai di dunia ini. 


"Kau ingat gelek di khalayak itu dapat pahala ke? Bangganya kau," katanya.

Pencuri bawa lawyer tuntut pekerja kedai mohon maaf kerana viralkan video dirinya mencuri



Tular di media sosial video pekerja kedai serbaneka berjaya mencekup seorang wanita yang didapati mencuri coklat Cadbury dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu, 13 Ogos 2022 di Tangerang Selatan, Indonesia.


Dalam video itu, pekerja Alfamart, Amelia, bertindak menahan Mariana dari terus keluar menuju ke kenderaannya jenis Mercedes Benz. Beberapa pekerja yang lain turut datang membantu dan merampas coklat Cadbury itu serta meminta Mariana membuat pembayaran terlebih dahulu. 


"Kenapa puan tak jujur? Kenapa tak nak bayar dulu?" kata pekerja kedai serbaneka berkenaan. 


Pada awalnya, Mariana bengang dituduh mencuri dan enggan membayar serta hanya mengembalikan coklat Cadbury tersebut. Tetapi selepas didesak oleh pekerja Alfamart, Mariana akur dan membuat pembayaran (denda) walaupun barang itu tidak dipulangkan kepadanya. 


Bagaimanapun, video kejadian yang dirakam telah dimuat naik ke media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. 

KESAL VIDEO DIVIRALKAN, PENCURI TUNTUT PEKERJA MOHON MAAF


Kesal dengan apa yang berlaku, Mariana nekad membawa peguamnya, H. Amir  datang semula ke premis itu untuk menuntut permohonan maaf secara terbuka dari Amelia yang telah menyebarkan videonya, atau berdepan dengan tindakan Undang-Undang dan Transaksi Elektronik (UU ITE - lebih kurang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia). 


"Saya pekerja Alfamart ingin mengesahkan bahawa, video yang tersebar di media sosial itu hanyalah salah faham di antara kami, yang mana tindakan menularkannya telah menjejaskan imej Puan Mariana. 


"Saya memohon maaf kepada Puan Mariana kerana telah menyebarkan video kejadian. Alhamdulillah, masalah yang timbul telah diselesaikan secara kekeluargaan," katanya. 



Dengan permohonan maaf dari Amelia itu telah menyelesaikan kes tersebut. H, Amir menjelaskan, Mariana sebenarnya tidak sedar dia telah mengambil coklat Cadbury itu sehingga terlupa untuk membuat pembayaran kerana terlalu banyak berfikir. 


"Klien saya pergi ke Alfamart untuk membeli sesuatu. Dia ketika itu sedang serabut memikirkan sesuatu dan secara tidak sedar telah mengambil coklat Cadbury itu yang dimasukkan ke dalam beg tangannya. 



"Semasa hendak keluar dari kedai, Mariana didatangi pekerja Alfamart yang meminta agar dia membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum beredar. Mariana masuk semula ke kedai untuk membuat pembayaran. 


"Dia sudah membayar, tetapi coklat Cadbury yang dirampas tidak diberi kepadanya. Dia hanya membayar denda kira-kira 100,000 rupiah (RM30) sebelum pulang. Keesokan harinya, video itu viral di media sosial membuatkan Mariana terkejut lalu datang semula ke Alfamart untuk bertanya siapa yang menyebarkan video itu," katanya. 


POLIS: MARIANA TURUT MENCURI 2 BOTOL SYAMPU


Sementara itu, Ketua Polis Tangerang Selatan, Sarly Sollu mengesahkan kejadian itu berlaku dan pihaknya sudah menerima laporan polis dari pihak Alfamart terhadap Mariana atas tuduhan mencuri dan mengugut mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerjanya. 


Siasatan awal polis pula mendapati, Mariana bukan hanya mengambil coklat Cadbury, malah turut mencuri dua botol syampu jenama Rejoice, berdasarkan semakan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 


SYARIKAT ALFAMART PERTAHANKAN PEKERJA


Tidak berpuas hati dengan tindakan Mariana, Pengarah Hal Ehwal Korporat Alfamart, Solihin berkata, pihaknya akan membantu Amelia yang telah menjalankan tugas dengan baik dan menyiasat kejadian itu sebelum mengambil tindakan balas. 


"Kami menolak tindakan intimidasi yang dilakukan (Mariana) terhadap pekerja Alfamart yang telah menjalankan tugas dengan baik. Alfamart akan melantik Peguam Hotman Paris (peguam tersohor di Indonesia) untuk menyelesaikan kes ini," katanya. 


Budak perempuan maut disambar petir ketika sedang berbual dengan rakan melalui handphone



Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai disambar petir ketika sedang menggunakan telefon bimbit untuk berbual dengan rakannya, semalam.


Lapor Utusan, kejadian itu berlaku pada jam 4.50 petang di Kampung Baru Sungai Raya Luar, di Gua Musang, Kelantan. Mayat mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, murid Sekolah Kebangsaan Kuala Betis, ditemui terbaring di dalam bilik tidurnya dengan kesan terbakar di bahagian lengan. 


Menurut bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, 45, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai menunaikan solat Asar di surau berdekatan dengan rumahnya dan terdengar bunyi dentuman petir yang kuat. 


M. Nor Zawawi kemudian dimaklumkan oleh isterinya bahawa, anak keempat dari lima beradik itu tidak sedarkan diri di tempat tidur dengan tangan kanannya masih memegang telefon bimbit. Apabila diperiksa, terdapat kesan melecur pada tangan kanan mangsa dan kesan terbakar di tilam. 


Mangsa terus dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Betis untuk mendapatkan rawatan, namun pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Penat larikan diri, gadis suntik dirinya dengan darah teman lelaki yang disahkan positif HIV



Seorang gadis berusia 15 tahun di India nekad menyuntik dirinya dengan darah teman lelaki yang disahkan positif HIV bagi membuktikan perasaan cintanya. 


Lapor Oddity Central, gadis berkenaan yang tidak dinamakan berasal dari negeri Assam, India, nekad menunjukkan perasaan cinta sejatinya dan betapa dia menyayangi jejaka itu sehingga sanggup menyuntik dirinya dengan darah lelaki itu. 


Berita mengenai perbuatan si gadis itu bukan sahaja mengejutkan keluarga lelaki berusia 15 tahun itu, malah seluruh negara selepas membaca laporan berita yang disiarkan sejak minggu lalu. 


Difahamkan, pasangan remaja itu telah menjalinkan hubungan cinta sejak tiga tahun lalu selepas berkenalan melalui aplikasi Facebook. 


Remaja lelaki positif HIV berkenaan berasal dari bandar Hajo, pernah cuba kahwin lari dengan kekasihnya beberapa kali sebelum ini. Tetapi ibu bapa gadis itu berjaya mengesan mereka lalu dibawa pulang ke rumah. 


Kali ini, gadis berkenaan enggan melarikan diri dan menemui cara yang lebih ekstrim untuk membuktikan cintanya. Dia menggunakan picagari untuk menyuntik dirinya dengan darah teman lelaki yang dijangkiti HIV walaupun mengetahui risiko kesihatan yang akan menimpanya. 


Susulan kejadian itu, ibu bapa gadis terbabit telah membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, suspek telah ditahan untuk tindakan lanjut. 


Sementara itu, gadis berkenaan sedang dipantau oleh doktor dan berkemungkinan besar dia perlu mengambil ubat sepanjang hayat bagi mengelakkan virus HIV memusnahkan sistem imunnya.

Gagal move on, wanita rempuh pintu rumah bekas teman lelaki & ugut bakar kedai motor



Polis menahan seorang wanita yang disyaki mengugut dan merempuh pintu pagar automatik kediaman keluarga bekas teman lelakinya di Taman Perling di sini, pagi semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, wanita berusia 20 tahun itu ditahan di kawasan Plaza Tol Lima Kedai, Gelang Patah di sini, pada 6.30 pagi, susulan aduan dibuat oleh kakak kepada bekas teman lelakinya mengenai kejadian itu kira-kira sejam setengah sebelum itu.


Beliau berkata, seorang ahli keluarga pengadu juga menerima ugutan daripada wanita terbabit yang mahu membakar premis perniagaan dan merosakkan harta benda milik keluarganya.


"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menuju ke rumah keluarga pengadu dan mendapati sebuah kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu wanita tersebut merempuh pintu pagar automatik kediaman berkenaan hingga tercabut sebelum cuba melarikan diri.


"Bagaimanapun, polis mengekori dan berjaya menahan wanita itu. Hasil siasatan mendapati dia merupakan bekas kekasih kepada adik lelaki pengadu sebelum hubungan mereka putus bulan lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Fariz Ammar, wanita itu tidak mempunyai rekod lampau tetapi hasil saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah terlarang jenis benzo.


"Dia didapati turut mengirimkan rakaman video memaparkan seorang individu sedang mencurahkan cecair disyaki minyak petrol di depan premis motosikal milik keluarga itu sebelum pengadu bertindak membuat laporan polis.


"Perbuatan wanita itu turut dirakam menerusi rakaman litar tertutup, yang menunjukkan dia merempuh pintu pagar automatik itu hingga menghempap kereta milik bapa pengadu dan menyebabkan kerosakan serta kerugian dianggarkan RM15,000," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 427 KK yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika disabit kesalahan," katanya menambah wanita itu direman empat hari bermula semalam.


Sumber: Bernama

'Alhamdulillah, mak ditemui dalam keadaan selamat' - Warga emas hilang ketika mencari daun kelapa sawit, berjaya ditemui pada hari keenam SAR



Wanita warga emas yang dilaporkan hilang 6 hari lalu selepas keluar mencari sisa daun kelapa sawit untuk membuat penyapu lidi di Kampung Parit Sayang, Rabu lalu, telah berjaya ditemui dalam keadaan selamat, hari ini. 


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Painah Siwan, 79, ditemui oleh orang awam yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.25 pagi tadi. 


Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan lemah berhampiran lopak air di kawasan kebun kelapa sawit, bersama dengan sepasang selipar dan lidi daun kelapa sawit. 


Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM). 


Anaknya, Sadiah Mohari, 42, bersyukur ibunya berjaya ditemui semula dan berterima kasih kepada semua pihak yang sanggup turun padang membantu mereka sekeluarga mencari ibunya. 


"Syukur Alhamdulillah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari dan yang paling penting emak ditemui dalam keadaan selamat," katanya. 


Painah terdahulu dilaporkan hilang oleh anaknya selepas mangsa didapati tidak pulang ke rumah semasa mencari daun kelapa sawit untuk membuat penyapu lidi. 


Sumber: Harian Metro

Wanita saman rakan sekerja sebab peluk terlalu kuat sehingga menyebabkan 3 tulang rusuknya patah



CHINA - Baru-baru ini seorang wanita mengheret rakan sekerjanya ke mahkamah, selepas mendakwa lelaki itu telah memeluknya terlalu kuat sehingga menyebabkan tiga tulang rusuknya patah dalam kejadian yang berlaku pada Mei 2021.


Semasa kejadian, mangsa yang berasal dari bandar Yueyang, Huna, sedang berbual dengan rakannya di tempat kerja. Tidak beberapa lama kemudian, tertuduh (rakan lelaki) datang menyapa dan memeluknya dengan terlalu kuat sehingga menyebabkan mangsa menjerit kerana  berasa sakit di bahagian dada.


Selepas habis waktu bekerja, dadanya masih terasa sakit.  Tetapi mangsa tidak pergi ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan. Sebaliknya dia pulang ke rumah dan hanya menyapu minyak panas di dada sebelum tidur. 


Lima hari selepas kejadian itu, dada mangsa terasa semakin sakit dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi menjalani pemeriksaan di hospital. 


Imbasan X-ray menunjujkkan tiga tulang rusuknya patah, dua di sebelah kanan, manakala satu lagi di bahagian kiri. Mangsa terpaksa mengambil cuti panjang yang menyebabkan dia kehilangan pendapatan. Selain itu, wang simpanannya telah banyak digunakan untuk membiayai bil perubatan dan perkhidmatan jururawat.. 


Dalam masa yang sama, mangsa dikatakan telah pergi berjumpa dengan tertuduh untuk berbincang tetapi mereka gagal mencapai jalan penyelesaian. Ini kerana tertuduh menegaskan mangsa tidak mempunyai bukti yang menunjukkan pelukan itu membuatkan tulang rusuknya patah. 


Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim membuat keputusan bahawa tertuduh perlu membayar sebanyak 10,000 yuan (RM6,548) kepada mangsa sebagai pampasan kerana tidak sengaja mematahkan tulang mangsa dengan pelukan kuat itu.. 


Walaupun kecederaan yang dialami mangsa hanya diketahui selepas lima hari kemudian, mahkamah menjelaskan tiada bukti menunjukkan mangsa mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti yang boleh menyebabkan tulang rusuknya patah. Tambahan, terdapat keterangan dari saksi rakan sekerja yang mengesahkan mangsa menjerit dan menahan kesakitan selepas dipeluk tertuduh. 


Kisah itu mencetuskan perdebatan di media sosial China. Tetapi kebanyakan orang menyatakan rasa simpati terhadap keadaan mangsa dan menasihati orang lain untuk berpada-pada ketika memeluk kenalan masing-masing.. 


Sumber: Oddity Central

Bayi maut, kepala pecah dihentak ke lantai 2 kali oleh teman lelaki ibunya



Seorang lelaki didakwa membunuh anak lelaki kepada teman wanitanya dengan menghentak kepala mangsa ke lantai van, telah dihukum penjara seumur hidup dengan 15 sebatan.


Hakim di Mahkamah Tinggi Singapura mendengar bagaimana tertuduh, Mohamed Aliff Mohamed Yusoff, 29, telah melakukan perbuatan kejam itu selepas dia bertengkar dengan ibu mangsa. 


Dalam perbicaraan 11 Ogos lalu, Mohamed Aliff  mendakwa, mangsa terjatuh dari pelukannya pada November 2019. Tetapi pada perbicaraan awal, mahkamah dimaklumkan tertuduh telah memecahkan kepala mangsa berusia sembilan bulan itu dengan menghentak kepala mangsa ke lantai van sekurang-kurangnya dua kali. 


Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta di Yishun, ketika mangsa, Izz Fayyaz Zayani Ahmad, berada di bawah jagaannya. 


Tertuduh dikatakan menyerang mangsa hanya beberapa jam selepas dia bertengkar dengan teman wanitanya, Nadiah Abdul Jalil. 


Bedah siasat yang dijalankan mendapati, mangsa meninggal dunia akibat trauma, kesan dari pukulan objek tumpul.


Pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan 15 hingga 18 sebatan. Peguam yang mewakili tertuduh pula tidak menentang hukuman penjara itu, sebaliknya hanya menuntut pengurangan jumlah sebatan kepada lima hingga enam sebatan. 


Hakim Mavis Chionh bersetuju bahawa hukuman mati adalah tidak wajar tetapi menyatakan bahawa tingkah laku tertuduh selepas melakukan pembunuh itu langsung tidak menunjukkan rasa atau reaksi menyesal dengan perbuatannya.


Mahkamah juga telah mendengar bagaimana defendan mengambil masa selama 36 minit untuk membawa mangsa ke hospital. Sebelum itu, tertuduh cuba mempengaruhi ibu mangsa untuk menceritakan versi palsu tentang kejadian yang berlaku kepada pakar perubatan. 


Nadiah turut memaklumkan kepada mahkamah tentang bagaimana Mohamed Aliff mencadangkan mereka mengupah seseorang untuk mengebumikan mayat anak mereka secara senyap dan hanya membuat laporan kehilangan mangsa selepas setahun kemudian. 


Sumber: The Mirror

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo