'Tindakannya telah menyebabkan beliau tertekan & dicemuh masyarakat' - SM Faisal fail saman fitnah terhadap Caprice



Ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal dilaporkan telah memfailkan saman terhadap penyanyi, Caprice, yang didakwa telah memuat naik posting fitnah di Instagram yang mengaitkan beliau dengan kes bekas isteri, Emilia Hanafi. 


Plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu dan menamakan Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 36, sebagai defendan. 


Mengikutt pernyataan tuntutan, SM Faisal, 43, mendakwa pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintah Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah. 


Dakwa plaintif, insiden tersebut diuar-buarkan dan dimanipulasi oleh Emilia atau pihak tertentu dengan berniat jahat melalui media massa secara meluas tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif atau Mahkamah Syariah, berhubung kedudukan sebenar kes membabitkan plaintif dan bekas isterinya di Mahkamah Syariah. 


SM Faisal mendakwa, sehari selepas itu, defendan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah di Instagram defendan yang mendapat publisiti meluas kerana penyanyi berkenaan mempunyai 1.5 juta pengikut. Hantaran tersebut telah dilihatt atau disukai kira-kira 14,5000 orang. 


SM Faisal mendakwa, hantaran fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak. 


Tindakan defendan itu katanya telah menyebabkan beliau tertekan dari segi emosi, selain dicemuh dalam kalangan masyarakat umum. 


Ahli perniagaan itu mendakwa, pihaknya telah menghantar satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai lalu memohon defendan menarik balik hantaran itu, selain membuat permohonan maaf kepada plaintif. Tetapi, defendan gagal berbuat demikian. 


Turut dipohon, perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu, selain memohon perintah untuk menghalang defendan atau wakilnya daripada mengganggu dan mengugut plaintif serta ahli keluarganya, sama ada secara lisan atau melalui media sosial. 


Plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos. 


Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal mengesahkan pemfailan saman fitnah itu dan memaklumkan 14 Oktober ini untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Idah Ismail. 


Sumber: Harian Metro

Bapa rogol 2 anak sejak 7 tujuh tahun lalu dipenjara 426 tahun, 240 sebatan

Foto Harian Metro


Lelaki yang didakwa merogol dua anak perempuan berusia 15 dan 19 tahun sejak tujuh tahun lalu hari ini dijatuhkan hukuman penjara 426 tahun dan 240 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. 


Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 56 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seskual terhadap dua anak kandungnya sendiri.


Mahkamah memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara itu serentak dan berperingkat dari tarikh tangkapan pada 18 September, menjadikan jumlah hukumna keseluruhan berjumlah 45 tahun dan 24 sebatan. 


Keputusan menjatuhkan hukuman itu dibuat selepas Hakim Nariman mempertimbang pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, fakta kes, keterangan impak mangsa serta hujah pendakwaan. 


Menurut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan keji itu terhadap dua anaknya di kediamannya sejak kedua-dua mangsa berusia 12 tahun. Tertuduh turut menggunakan alat maianan seks terhadap mangsa selain berani melakukan perbuatan itu ketika isterinya berada di rumah. 


Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isterinya melihat tertuduh sedang merogol anak keduanya dalam bilik. 


Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon mahkamah mengenakan hukuman berat. Tertuduh bagaimanapun merayu agar mahkamah mengambil kira keadaan dirinya yang tidak begitu sihat, selain mengaku bersalah (insaf) dan mendakwa keluarganya sudah memaafkan perbuatannya itu. 


Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga dihukum penjara dua tahun kerana mengugut mahu membunuh isteri dan anak-anaknya. 


Sumber: Utusan Malaysia

Guru ditahan, letak cecair peluntur dalam makanan murid untuk balas dendam



Seorang guru sekolah rendah di Fujimi, Saitama, Jepun, telah ditahan polis kerana meletakkan bahan peluntur dalam hidangan tengah hari murid sekolah berkenaan. 


Suspek, Ayana Hanzawa, 24, guru sekolah di Sekolah Rendah Mizutani-Higashi, telah ditahan polis pada 15 September lalu atas perbuatan khianatnya itu. 


Menurut sumber, Ayana mengajar di sekolah itu sejak 2020. Baru-baru ini dia ditukar menjadi guru kelas bagi kelas lain pada April, sedangkan dia mahu kekal dengan kelas sebelumnya. 


Suspek tidak berpuas hati lalu menyimpan dendam dan bertindak mencampurkan bahan peluntur dalam hidangan makanan tengah hari murid. 


Sumber dari pegawai sekolah berkata, hidangan kari yang  dicampur dengan bahan peluntur itu hendak dihidang kepada murid-murid di kelas baharunya.


Bagaimanapun, perbuatan suspek terbongkar selepas beberapa murid menyedari makanan tersebut berbau pelik lalu memaklumkan kepada guru. 


Pihak berkuasa kemudian mengambil sampel makanan tersebut untuk dianalisis dan keputusannya mendapati, ia mengandungi bahan peluntur klorin. 


Siasatan polis mendapati, Ayana sebelum itu membeli peluntur tersebut dari farmasi berdekatan. 


Semasa disoal siasat, Ayana mengakui telah mencampur bahan peluntur itu dalam hidangan tersebut. Dia mengakui kesal dan memohon maaf di atas perbuatannya itu.


Suspek akan didakwa atas dakwaan melakukan khianat terhadap institusi pendidikan itu. 


Sumber: Kyodo News

Suami nekad bakar isteri kerana selalu main handphone ketika dia berada di rumah



Seorang lelaki di Kabupaten Bogor, Jawa Barat, Indonesia, nekad membakar isterinya sendiri dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu, 17 September 2022. 


Suspek berbuat demikian kerana dipercayai bengang dengan isterinya yang selalu bermain telefon bimbit semasa dia berada di rumah. Bengang dengan sikap isterinya itu, suspek kemudian keluar membeli tiga botol minyak. 


Setelah pulang, suspek terus pergi ke bilik di mana mangsa ketika itu sedang tidur. Suspek menyimbah minyak tersebut dan terus menyalakan api untuk membakar bilik itu.  Mangsa terjaga dari tidur dan terkejut dengan tindakan suaminya. 


"Saya sedang tidur dan tiba-tiba terbangun, melihat suami sedang menyimbah minyak di dalam bilik sebelum menyalakan api dan terus membakar bilik itu," katanya. 


Mangsa terus menjerit meminta tolong dan dalam masa yang sama turut cuba melarikan diri tetapi dihalang oleh suspek yang menangkap lalu mengheretnya masuk semula ke bilik itu.


"Dia menghalang saya dan paksa masuk ke dalam api yang sedang marak," katanya mangsa. 


Mangsa terpaksa bergelut dengan lelaki itu dan berjaya meloloskan diri ke luar rumah yang ketika itu sudah dikerumuni para penduduk setempat.


Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami melecur di bahagian betis kaki kiri akibat dari bawah sampai ke bahagian paha.




Sementara itu, saksi yang juga jiran mangsa berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi dan mereka terdengar jeritan mangsa meminta bantuan. 


"Ada terdengar jeritan mangsa meminta tolong lebih dari sekali dan selepas itu saya ternampak orang ramai berkumpul di depan rumah suspek. 


"Mangsa dikejar oleh suaminya tanpa henti dan juga kelihatan kaki mangsa mengalami luka terbakar. Seram tengok, masa itu api di kakinya masih menyala. Saya terus bawa dia masuk dalam kereta dan hantar klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan," katanya.


Ketua Polis Sukamakmur, Sutopo Pranolo berkata, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut. 


Semakan polis juga mendapati, suspek adalah bekas banduan yang baru dibebaskan dua hari lalu, setelah selesai menjalani hukuman hampir tiga tahun atas kesalahan mencuri motosikal. 


Sumber: Kompas

Pelajar Tingkatan 2 dirogol 5 lelaki selepas dibawa rakannya pulang ke rumah

Foto Hiasan Sahaja



Lima lelaki termasuk pelajar ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan tingkatan dua.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Klang semalam, selepas pihaknya menerima laporan dari ibu mangsa pada jam 8.52 malam, Ahad lalu. 


Dalam laporan itu, wanita berkenaan mendakwa anak perempuannya berusia 14 tahun telah dirogol oleh lima lelaki yang baru sahaja dikenalinya pada jam 8 malam, 12 Ogos selepas mangsa dibawa oleh rakan perempuan pergi ke rumah rakannya itu. 


Ketika berada di rumah tersebut, mangsa telah dirogol oleh abang rakannya bersama dengan empat lagi rakannya. 


Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara terus dikerahkan menangkap kesemua suspek. 


Menurut S Vijaya, kelewatan membuat laporan polis itu disebabkan mangsa pada awalnya enggan memberitahu keluarganya mengenai kejadian tersebut. Bagaimanapun selepas didesak, mangsa akhirnya membuka mulut dan keluarganya segera membuat laporan polis. 


Kesemua suspek berusia dari 16 hingga 21 tahun termasuk rakan perempuan kepada mangsa ditahan untuk diambil keterangan. Mereka turut direman selama lima hari sehingga 23 September untuk siasatan lanjut. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan iaitu rogol berkumpulan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun. 


Sumber: Harian Metro

Rakyat bayar tol untuk 'menikmati' kesesakan lalu lintas

Foto sekadar hiasan | Vocket



Sejak Malaysia beralih ke fasa endemik Covid-19 April lalu, hari dari hari semakin ramai yang membebel gara-gara terperangkap dalam kesesakan di ibu kota dan kawasan sekitarnya.


Perjalanan yang lazimnya hanya 40 minit ke satu-satu destinasi kini boleh sampai dua jam. Dua jam pergi dan dua jam balik, ba­yangkan betapa siksanya memandu di Lembah Klang sekarang.


Ketika cuti sekolah minggu lalu, kelompok yang tidak balik kampung menggambarkan mereka akan berseronok memandu kereta ulang-alik dari pejabat. Namun yang berlaku sebaliknya malah ke­sesakannya berganda dan lebih teruk tidak mengira waktu.


Faktor kesesakan sudah tentu pelbagai dan yang pasti Malaysia semakin banyak kenderaan. Ia diburukkan lagi apabila hujan, kemalangan, pembinaan dan paling tidak boleh diterima jika polis membuat sekatan jalan.


Apabila rakyat kecoh hal kesesakan seperti biasa kerajaan muncul dengan idea menyeru rakyat menggunakan pengangkutan awam.


Namun, tahukah pak menteri yang bertanggung jawab ke atas hal ehwal pengangkutan awam, penggunaannya juga tidak kondusif dan lebih teruk membazir masa seperti memandu kereta dalam kesesakan.


Faktornya, jaringan pengangkutan seperti LRT, MRT atau komuter belum sepenuhnya selain masalah tidak sistematik.


MRT, LRT mahupun komuter hanya tersedia di beberapa lokasi tetapi kerajaan seperti mengharapkan penduduk satu negara memanfaatkan kemudahan tersebut.


Bagi yang tiada pilihan untuk tiba ke stesen pengangkutan awam, mereka perlu memandu kereta dan membayar caj tempat letak kereta.


Apabila tiba ke stesen terakhir dinaiki, individu itu perlu pula memikirkan untuk sampai ke destinasi yang mahu dituju. Jika destinasi itu berdepan stesen LRT, MRT atau komuter, sudah tentu ia ‘bonus’ buat individu itu.


Tetapi jika sebaliknya, bersedialah mengeluarkan wang Grab atau tunggu masa lama sedikit naik bas percuma. Selepas conggak sana sini, pilihan menggunakan pengangkutan awam bukan murah tetapi boleh jadi berganda berbanding memandu kereta.


Lebih mengharukan, beberapa kali dalam tahun ini sahaja, komuniti menggunakan pengangkutan awam kerap meroyan kerana masalah teknikal kepada MRT dan LRT.


Bila berlaku keadaan itu media sosial menjadi tempat ‘mengadu’ kerana menyedari masalah itu lebih pantas menerima maklum balas pihak bertanggungjawab.


Membincangkan perihal pengangkutan awam dan lain-lain kemudahan komuniti di negara ini sangat memenatkan sampai timbul slogan warga Lembah Klang bayar tol untuk ‘nikmati ke­sesakan’.


Mungkinkah betul saranan segelintir pihak yang mencadangkan agar pak menteri, ketua-ketua kantor dan semua pemimpin politik meniru pegawai kerajaan di Sweden sama-sama menikmati pengangkutan awam yang diideakan mereka.


Khabarnya menteri dan ahli parlimen di Sweden tidak ba­nyak keistimewaan seperti menteri-menteri di Malaysia sampaikan panggilan telefon pun ada pembantu untuk menjawabnya.


Dari situ, penggubal dasar boleh memahami keperluan rakyat dan bukannya melaksanakan dasar-dasar hasil cadangan demi cadangan yang akhirnya tidak banyak faedah, malah membazir lagi.


Sumber: Teo Ng (Pengarang Berita Utusan Malaysia

(Video) 'You kena insert kat dalam Cik Bunga' - Influencer promote serum ketatkan vagina dikecam netizen, gesa KKM siasat produk itu



Pakar kesihatan selalu menasihatkan golongan wanita tidak memasukkan sebarang bahan atau benda yang tidak sepatutnya ke dalam alat sulit bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari. 


Nasihat itu dibuat berikutan ada segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab membuat tuntutan tidak berasas kononnya produk mereka berkesan meskipun diragui kesahihan tuntutan itu. 


Baru-baru ini, seorang bekas peserta Dewi Remaja 2018 yang juga influencer, Sharifah Eleen, dikecam netizen kerana didakwa mempromosi produk serum mengetatkan miss v. 


"Sapu dekat Cik Bunga awak sayang. Ini cara nak pakai dia, you dah tekan pam, you kena insert kat dalam macam tu. And then you lepaskan serum itu, kemudian you keluarkan. 


"Okay, you pakai sebelum nak tidur sahaja. Sebelum tidur tu, dia (serum) akan bekerja. Masa tidur, you akan nampak effect dia best sangat," katanya. 



Majoriti netizen 'menyirap' dengan video tersebut dan menganggap produk yang dijualnya itu mengarut serta menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiasat produk itu.


"Untuk wangi ke untuk ketat? Wangi makan/minum buah je la, ketat buat kagel. Menyirap pula tengok orang b**** macam ni," kata Piya Sofea. 


"Aiyoo, I don't have ****** tetapi I pernah baca sebelum ini, jangan sewenang-wenangnya letak liquids dalam tu sebab takut ada infection nanti. Serum? More like seram!" kata Ceddy. 


"Nak ketatkan, gantikan benda itu dengan gam gajah. Thanks me later," kata Z. 


"KKM tolong siasat produk keluaran ni, dah lain amcam je bunyi. Boleh rosakkan dara seseorang sekiranya menggunakan produk-produk yang tidak diluluskan. Ambil tindakan tegas ke atas founder sekiranya produk ini boleh menyebabkan kesan memudaratkan jangka masa panjang nanti," kata Adrien. 


Sementara itu, menurut penjelasan Dr Wanshare yang pernah tular sebelum ini berkata, wanita tidak memerlukan feminin wash untuk mengekalkan kesihatan miss v. Ini kerana miss v wanita sememangnya bersih. 


"Bukan bermaksud bersih dari segi tiada kuman, maksudnya bersih dari segi tiada kuman yang boleh merosakkan dan menghasilkan penyakit. 


Ikuti penjelasannya dalam video di bawah:



Sumber: Twitter @IbuPeri_

Habitat terganggu & kurang sumber makanan, punca buaya mula sasar manusia untuk dijadikan makanan

Foto sekadar hiasan sahaja | Kosmo Online



Kehilangan habitat dan kekurangan sumber makanan bersaiz besar berkemungkinan antara sebab serangan buaya semakin meningkat di Sabah.


Prof Benoit Goossens, seorang ahli Suruhanjaya Kemandirian Khas Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) berkata, walaupun membunuh beberapa buaya di sesuatu kawasan boleh menimbulkan rasa selamat kepada pengguna sungai, buaya baharu akan menggantikan reptilia yang mati itu dan bahaya akan berterusan.


Goossens yang juga Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) berkata, lebih banyak kesedaran diperlukan di kawasan yang mempunyai populasi buaya yang tinggi dengan menganjurkan bengkel bersama masyarakat tempatan dan pekerja ladang yang memancing di sepanjang Sungai Kinabatangan.


"Bagi saya, faktor yang menyebabkan konflik manusia-buaya ialah kehilangan habitat dan kekurangan mangsa besar seperti babi hutan akibat wabak selesema babi Afrika. Buaya besar yang menyerang manusia biasanya memakan mangsa bersaiz besar seperti khinzir dan rusa.


"Apabila populasi babi hutan kembali (ada), kita perlu mencadangkan kepada orang ramai agar mengelak mandi di sungai utama yang ada kehadiran buaya dan tidak memancing di tebing sungai selama berjam-jam, kerana buaya ialah pemangsa serang hendap," katanya kepada Bernama.


Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan bahawa Sabah perlu mengeluarkan permit untuk memburu buaya secara terkawal bagi menangani isu populasi reptilia itu yang tinggi di Sabah.


Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag turut mendesak kerajaan negeri untuk mewujudkan peraturan atau pengawalan terhadap penghapusan dan pemburuan buaya secara komersial, sama seperti yang dilakukan di Sarawak.


Beliau membuat saranan itu susulan kematian melibatkan seorang wanita yang diserang oleh seekor buaya di daerah Kinabatangan pada 30 Julai lepas.


Pada 11 September, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai kepala mangsa yang dipercayai disambar buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntur di kawasan setinggan dekat Taman Kenari, Sandakan pada 9 September, kes terbaharu konflik antara manusia dengan buaya di negeri ini.


Goossens berkata, DGFC sudah menjalankan tinjauan di seluruh negeri pada 2019 hingga 2020 untuk Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi kajian penemuan yang tidak merugikan (NDF).


DGFC ialah kemudahan kajian dan latihan kerjasama yang ditubuhkan di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Hilir Kinabatangan dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Cardiff University.


Beliau berkata, kajian DGFC adalah untuk menilai sama ada pemburuan secara komersial dan mampan tidak akan menjejaskan populasi buaya di Sabah.


"Hasil kajian kami mencadangkan bahawa dalam tempoh 20 tahun lepas, tiada bukti ketara tentang peningkatan dalam saiz populasi keseluruhan buaya di Sabah dan tidak mungkin menjadi faktor penentu dalam sebarang peningkatan laporan konflik manusia-buaya.


"Hasil NDF juga jatuh di atas ambang yang menunjukkan bahawa pemburuan (walaupun pemburuan terkawal) akan menjejaskan populasi buaya di negeri ini.


"Satu-satunya pemburuan buaya yang mampan adalah di Sungai Kinabatangan, membolehkan pemburuan maksimum lima ekor buaya dewasa setahun di sungai itu," katanya menambah pemburuan di sungai lain di Sabah boleh menjejaskan populasi buaya.


Pada masa ini, buaya air masin ialah spesies dilindungi di Sabah dan pada 2016, Malaysia memindahkan status buaya air masin itu daripada Lampiran I kepada II, dengan pemburuan liar dihadkan kepada Sarawak dan sifar kuota untuk spesimen liar bagi negeri lain di Malaysia termasuk Sabah.


Sumber: Bernama

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo