'Dahlah order sikit, bayar macam taik!' - Rider makanan selar customer minta hantar pesanan sampai depan pintu, tapi disekolahkan netizen



Minggu lalu, tular di media sosial video luahan ketidakpuasan hati seorang wanita terhadap perkhidmatan penghantar makanan yang enggan menghantar pesanannya sehingga ke depan pintu. 


Pengadu berkata, itu adalah kali pertama dia berdepan dengan masalah sedemikian sedangkan sebelum ini semua pesanannya tidak pernah menghadapi sebarang masalah. 


Difahamkan, pengadu telah diminta turun ke tingkat bawah untuk mengambil pesanannya. Tetapi pengadu tidak berbuat demikian kerana baginya penghantar makanan boleh masuk ke bangunan pangsapuri itu tanpa perlunya melalui sebarang sekatan, sekali gus menghantar pesanannya ke depan pintu rumah. 


Namun, penghantar makanan terbabit dikatakan tidak mahu melayani permintaan pengadu menyebabkan kedua-dua mereka 'berdebat' dalam ruangan chat aplikasi Food Panda seketika. 


Tidak berpuas hati dengan insiden itu, pengadu membuat teguran secara terbuka yang ditujukan kepada penghantar makanan Food Panda di media sosial. 


"Kalau korang rasa korang tak boleh nak jalankan tugas korang sampai selesai. Korang tak layak jadi rider Food Panda. Sebab apa? Sebelum ini saya order makanan tak ada masalah dia hantar sampai pintu. 


"Kalau dulu saya duduk kondominium, normal.. normal.. awak tak boleh hantar sampai depan pintu dan memang saya kena turun. Tapi sekarang saya duduk di pangsapuri je, korang boleh naik ke atas tanpa kad akses bagai. Kenapa nak paksa saya turun dan nak berdebat dengan saya dalam ruangan chat? 


"Kemudian saya kata kalau tak boleh nak hantar makanan sampai depan pintu, saya cancel la. Kemudian awak nak buat muka hantar makanan dan bila saya ucap terima kasih, langsung tiada reaksi. Awak kerja kan? Kenapa buat perangai macam tu? 



"Janganlah buat orang rasa macam ni. Kalau rasa tak boleh nak jalankan tugas dengan sempurna, jangan buat kerja ini. Kita nak bantu awak mencari rezeki tapi awak buat kita macam ni pula. 


"Abang Food Panda ingat eh, kalau rasa korang tak boleh hantar sampai depan pintu, jangan buat kerja ini. Ya Allah sakit betullah hati. Saya rasa dia bergaduh dengan bini dia kot sampai jadi macam tu," katanya. 


Terkesan dengan teguran itu, salah seorang penghantar makanan tampil membidas pengadu dan menegaskan pelanggan sememangnya kena turun ke tingkat bawah untuk mengambil pesanannya sendiri. 


Malah, dia turut memberi contoh gambar yang menunjukkan pekerja JNT dan Pos Malaysia meletakkan bungkusan pelanggan di tingkat bawah sahaja. 


"Tengok abang JNT pun letak kat bawah. Abang Pos pun letak peti surat bawah. Kenapa kita wajib kena naik atas? Sebab kita bodoh dan tak bersatu, tak berani melawan sama-sama ke? Sudahlah order sikit, bayar macam taik," katanya. 


Foto tular | mStar Online



Bagaimanapun, kenyataan lelaki itu mengundang kemarahan netizen yang menyelarnya membuat perbandingan yang tidak wajar. Ada beberapa penghantar makanan turut membidasnya.


"Bila tak ada order, kau melalak. Bila dapat order, kau pemalas. Kau nak apa sebenarnya hanat? Belajarlah bersyukur. Kita memang buat services door to door. Makanan memang sepatutnya diletak di atas, jangan nak samakan seperti kita menghantar barang. Bingai tu simpan sikit. Benda boleh naik, kita naik. Tak boleh naik, letak di tempat yang sepatutnya," kata netizen. 


"Mana ada bang, saya driver kurier, kadang-kadang kena naik atas juga hantar barang yang berat. Bergantung pada pengurusan. Pandai-pandai jual nama JNT, Pos Laju bagai. Syukurlah naik motor parking senang. Yang naik van ni lagi susah nak cari parking tau. Manja betul riders ni," kata netizen.

'Bibir terkoyak, calar & lebam seluruh badan' - Guru terkejut, anak muridnya didera bapa kandung



Perasaan curiga seorang guru terhadap muridnya yang memakai jaket dalam kelas, membongkar rahsia kanak-kanak itu menjadi mangsa dera bapanya sendiri. 


Lapor Harian Metro, guru di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani berasa pelik apabila melihat ada kesan merah di muka mangsa kira-kira jam 8 pagi semalam, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada guru lain. 


Ketika diperiksa, mereka mendapati terdapat kesan-kesan calar di seluruh badan, luka di telinga, bengkak di siku, kesan lebam dan bibir terkoyak yang dipercayai akibat didera. 


Susulan penemuan mengejutkan itu, guru berkenaan membuat laporan polis menyebabkan bapa mangsa berusia 29 tahun ditahan pada jam 8 malam tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.


Polis turut merampas sebatang penyapu, rotan panjang dan senduk putih yang digunakan suspek dalam kejadian itu. 


Foto ihsan PDRM | Harian Metro



Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pekerja kilang itu mengaku memukul mangsa sejak dua bulan lalu kerana anaknya itu degil dan hiperaktif. 


Difahamkan, mangsa yang juga merupakan anak tunggal itu tinggal bersama dengan suspek dan ibu tirinya sejak setahun lalu. Mangsa sebelum ini tinggal bersama neneknya di Tanjung Dawai sejak kecil dan juga baru berpindah sekolah. 


Sementara itu, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan. Laporan awal perubatan mengesahkan mangsa juga mempunyai kesan lebam baru dan lama di bahagian kepala, leher serta badan yang disyaki berpunca dari penderaan.


Suspek kini direman selama enam hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 


Sumber: Harian Metro

Ramai orang pencen kembali bekerja sebab gagal urus kewangan diri



Kebiasaannya mereka yang telah bersara dari mana-mana perkhidmatan, mengambil peluang untuk menikmati hari tua dengan simpanan yang mencukupi. Tetapi pada hari ini, muncul pula trend pesara kembali bekerja bagi menampung simpanan di hari tua. Perkara itu berlaku disebab kegagalan mereka menguruskan kewangan ketika masih bekerja. 


Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, trend itu dilihat semakin membimbangkan kerana ia akan membebani masyarakat pada masa akan datang. 


Jelas beliau, golongan itu sepatutnya menikmati hari tua bersama dengan keluarga, bukannya mengerah keringat serta membanting tulang. 


Menurut kajian, bagi meneruskan kelangsungan hidup, seramai 1.2 juta pekerja dan pesara swasta berumur antara 55 hingga 64 tahun kini masih bekerja dan sebahagian mereka terpaksa kembali bekerja dengan melakukan pelbagai tugas. 


Selain kos sara hidup meningkat, kekurangan dana persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas banyak dihabiskan melalui pelbagai skim pengeluaran khas menjadi punca utama golongan pesara kembali bekerja. 


Sumber: Kosmo Online

'Tolong bayar hutang saya' - Lelaki maut bunuh diri, wasiatkan isteri bayar hutang 3.5 juta



Seorang lelaki warga emas sempat membuat surat wasiat sebelum ditemui mati pada 18 September lalu.


Mangsa, Edi Siswanto, 52, ditemui mati selepas dirempuh dan digilis kereta api di Stesen Pagaden Baru, Kabupaten Subang, Indonesia. 


Ketua Polis Pagaden, Senan Ali berkata, soal siasat pada saksi kejadian mendapati, mangsa terdahulu datang ke stesen itu dengan menaiki lori kecil jenis Suzuki Pickup. Mangsa kemudian masuk ke tandas sebelum keluar semula, lalu duduk di kerusi yang ada di stesen tersebut. 


Ketika kereta api melintas, Edi segera berlari ke landasan dan membiarkan dirinya dirempuh pengangkutan awam itu yang menyebabkan mangsa mati serta-merta akibat kecederaan parah, di lokasi. 


Pemeriksaan pada mayat mangsa menemui sekeping surat wasiat dalam kenderaan milik mangsa yang meminta isterinya mmbayar hutang sebanyak Rp 3.5 juta.


"Mangsa dipercayai membunuh diri kerana terbeban dengan masalah hutang keliling pinggang. 


"Dalam surat wasiat itu menyatakan, mangsa meminta isterinya membayar hutangnya sebanyak Rp 3.5 juta atau RM1,061 kepada individu yang dinamakan. Manakala bagi hutang yang lain, mangsa mohon dihalalkan sahaja," katanya. 


Sumber: Tribun News

Pesara Pejabat Tanah disyaki terima rasuah sebuah rumah bagi projek lebuhraya, ditahan SPRM

Foto hiasan sahaja



Seorang bekas kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah dalam projek lebuh raya pada 2005. 


Menurut sumber, pesara terbabit terdahulu hadir di Pejabat SPRM Kedah pada jam 3 petang semalam untuk memberi keterangan sebelum ditahan. 


"Lelaki terbabit ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan jawatannya ketika proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi pembinaan Projek Lebuhraya Langkawi pada 2005. 


"Sebagai balasan, dia dipercayai mendapat suapan sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi, ketika masih dalam perkhidmatan," kata sumber. 


Namun disebab suspek yang sudah berusia mempunyai masalah kesihatan, SPRM melepaskannya dengan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, mengesahkan perkara itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. 


Sumber: Harian Metro

Jemaah Menteri setuju ambil 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka



Jemaah Menteri bersetuju bagi pengambilan 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang dilanda krisis ekonomi ketika ini.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.


Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Sept lepas bersetuju bagi pengambilan pekerja tersebut dan ia merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu negara Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.


"Saya menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan ini dengan menggajikan pekerja asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja asing," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Saravanan, majikan yang telah diberi kelulusan kuota dan telah menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang tersebut.


Beliau berkata, sehingga 14 Sept lepas, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja asing.


Saravanan berkata majikan yang berminat untuk mengambil pekerja asing boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM (oscksm@mohr.gov.my) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (jtksm@mohr.gov.my) untuk maklumat lanjut.


Sumber: Bernama

Lelaki tampar, tendang & pijak kepala anak tiri, ditahan polis



Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul anak tirinya, selepas remaja perempuan berumur 19 tahun yang dirujuk ke Hospital Taiping akibat cedera itu membuat laporan berhubung kejadian, empat hari lepas.


Baca: 'Hangpa tak layak digelar mak ayah!' - Remaja dakwa dipukul bapa tiri hingga cedera & ibunya tak tolong


Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata kejadian di Parit Buntar malam Sabtu lepas itu dipercayai bermula dengan pertengkaran mulut antara remaja itu dan ibu kandungnya, sebelum suspek masuk campur dan bertindak menampar pipi sebelah kiri, menendang bahagian belakang badan dan memijak kepala remaja berkenaan.


Dia berkata susulan kejadian, remaja itu dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum dirujuk pula ke Hospital Taiping ekoran mengalami bengkak serta lebam di beberapa bahagian pada badan, dan suspek kemudiannya hadir menyerah diri pada hari Ahad sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokkan harinya.


“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” tambahnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.


Sumber: Bernama

Tak siap kerja sekolah, bapa bakar anak sampai mati



Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengalami kecederaan parah selepas dibakar oleh bapanya dengan menggunakan minyak tanah, dalam kejadian yang berlaku di daerah Orangi di Karachi, Pakistan.


Dua hari kemudian, pihak hospital mengesahkan mangsa, Shaheer Khan, meninggal dunia. 


Siasatan awal polis mendapati, bapa mangsa, Nazir Khan, bertindak sedemikian kerana berang dengan mangsa yang tidak menyiapkan kerja sekolah.


Pegawai Polis, Salim Khan berkata , Nazir sebelum itu bertengkar dengan isterinya, Shazia mengenai akademik Shaheer.


Shaheer yang baru mahu melangkah keluar bermain layang-layang ditahan oleh bapanya, sedangkan kerja sekolahnya yang diberi guru sekolahnya masih belum disiapkan. Nazir kemudian bertanya beberapa persoalan berkaitan persekolahan.


Bagaimanapun mangsa tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan dan hal itu mengundang rasa bengang Nazir, lalu mengambil minyak tanah dan dicurah ke atas Shaheer. 


Ketika memberi keterangan kepada polis, Nazir berkata dia hanya sekadar mahu mengertak anaknya agar duduk di rumah dan menyiapkan kerja sekolah. Tetapi dia pada waktu itu hilang pertimbangan lalu menyalakan mancis dan api terus menyambar mangsa. 


Shaheer menjerit kesakitan dan ibunya bergegas membantu Nazir yang cuba memadamkan api dengan membaling selimut kepada mangsa. 


Selepas api berjaya dipadamkan, mangsa yang melecur teruk segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dua hari kemudian Shaheer disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya. 


Susulan kejadian itu, Nazir telah tampil menyerah diri pada Isnin, 19 September 2022 dan mengaku bersalah di atas perbuatan dan kecuaiannya itu.


Sementara itu, Shazia mengambil masa dua hari untuk meratapi kematian anaknya dan mengambil keputusan untuk mengheret suaminya ke mahkamah atas pertuduhan membunuh anak mereka. Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada 24 September 2022.


Sumber: Daily Star


Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo