Suami tikam isteri berkali-kali selepas bermimpi mangsa curang dengan lelaki lain



Seorang lelaki didakwa menikam isterinya berkali-kali pada waktu malam selepas terjaga dari mimpi yang menunjukkan mangsa sedang menjalin hubungan sulit. 


Suspek berusia 37 tahun itu didakwa menikam isteri yang dikahwininya sejak 13 tahun lalu di bahagian leher, tulang selangka dan tangan di rumah mereka di Planaltina, Daerah Persekutuan Brazil. 


Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 8 Ogos lalu dan lima minggu selepas melarikan diri, suspek berjaya ditahan polis. 


Menurut laporan, pasangan berkenaan yang mempunyai empat anak itu bertengkar di tengah malam selepas suspek bermimpi mangsa menjalinkan hubung sulit. 


Suspek yang tidak didedahkan namanya itu, bertindak mengambil pisau dan mengugut isterinya ketika menyoalnya mengenai mimpi itu. 


Mangsa menafikan sebarang salah laku dan cuba menyakinkan suspek bahawa itu semua hanyalah mimpi semata-mata sebelum kembali tidur. 


Bagaimanapun, suspek dipercayai terlalu memikirkan tentang mimpi itu dan tiba-tiba berang lalu mengambil pisau serta menikam mangsa beberapa kali di leher, tulang selangka dan tangannya. 


Mangsa berjaya melarikan diri dari serangan itu dan kemudian dibawa ke hospital. Sementara itu, suspek melarikan diri dari tempat kejadian. 


Ketika disoal siasat, suspek mengakui perbuatannya dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes pembunuhan yang berlaku di Formosa, Negeri Goias. 


Suspek kini menghadapi pertuduhan kerana cubaan membunuh. Siasatan kes diteruskan. 


Sumber: Mirror

Rembat dana (RM56 juta) kanak-kanak miskin untuk bayar kad kredit, bina rumah, bekas 'First Lady' dipenjara 14 tahun



Isteri kepada bekas presiden Honduras dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun selepas mahkamah mendapati wanita itu menipu dan menyeleweng dana untuk kanak-kanak miskin. 


Rosa Bonilla didakwa menyalahgunakan dana USD12.2 juta (RM56 juta) bagi membantu kanak-kanak miskin, untuk membayar kad kredit, yuran persekolahan anak-anaknya dan pembinaan hartanah. 


"Bekas wanita pertama, Rosa Elena Bonilla dihukum penjara 14 tahun sebulan atas jenayah penipuan dan menyeleweng dana awam untuk program sosial," kata jurucakap Mahkamah Agung, Carlos Silva. 


Bagaimanapun peguamnya, Juan Berganza berkata, mereka akan membuat rayuan terhadap hukuman itu. 


Difahamkan, Rosa dalam perbicaraan sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman penjara selama 58 tahun. Tetapi, hukuman itu dibatalkan Mahkamah Agung pada 2020 selepas mendapati alasan hukuman yang diberi itu tidak konsisten. 


Kes itu kemudian diarahkan dibicara semula di mahkamah rendah yang kemudian mendapati Rosa bersalah pada Mac lalu. 


Porfirio Lobo dilantik sebagai Presiden Honduras selepas rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan pimpinan Manuel Zelaya pada 2009 dan berkhidmat sehingga 2014. 


Seorang anak lelaki pasangan itu, Fabio Lobo, dihukum penjara 24 tahun oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada 2017 kerana berkonspirasi menyeludup kokain. 


Sumber: Utusan Malaysia

Nasib Zahid ditentukan hari ini, sama ada perlu bela diri atau dibebaskan dari 40 pertuduhan rasuah



Tumpuan pagi ini terarah kepada hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa, untuk keputusannya sama ada Ahmad Zahid Hamidi perlu membela diri atau dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN).


Mohd Yazid dijangka mengumumkan keputusan tersebut di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.


Sekiranya mahkamah berpihak kepada pendakwaan - yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid - maka presiden Umno itu akan dipanggil untuk membela diri.


Namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri berkenaan akan dilepas dan dibebaskan.


Jika Ahmad Zahid, 69, diperintah membela diri, mahkamah akan mendengar keterangan daripadanya dan saksi pembelaan lain.


Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 Sept lepas.


Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya - sebagai menteri dalam negeri - melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Okt 2014 dan Mac 2018.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Ahmad Zahid juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Dia didakwa - sebagai menteri dalam negeri - menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.


Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan sebagai menteri dalam negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.


Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Okt 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Seramai 40 wartawan tempatan dan asing diberikan pas untuk mengikuti prosiding berkenaan menerusi satu pautan video di sebuah bilik. Mahkamah juga menyediakan 30 pas bagi jurugambar dan jurukamera video yang ditempatkan di lobi Kompleks Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Sumber: Bernama

Kos haji naik: ‘Allah tidak memaksa jika kita tidak mampu’ - Idris



Bakal jemaah dinasihatkan supaya menilai kemampuan sendiri dan mengambil kira kenaikan kos sebelum menunaikan ibadah haji.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata haruslah menjadi panduan dan ingatan bahawa syarat wajib bagi menunaikan haji mestilah berkemampuan dan tidak membebankan.


Baca: Bakal haji tak boleh terus bergantung pada bantuan kewangan, perlu sedia bayar lebih


“Kita perlu faham konsep menunaikan ibadah dan Allah SWT tidak memaksa jika kita tidak berkemampuan.


"Jangan sehingga kita bergolok-bergadai dan kehabisan wang simpanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jualan Bergerak Bantu Rakyat di Bukit Gantang hari ini.


Beliau mengulas laporan media mengenai kemungkinan peningkatan kos mengerjakan ibadah itu kembali dibincangkan sejurus berakhirnya musim haji tahun ini.


Perkara itu dibayangkan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar bulan lepas yang memaklumkan TH dijangka membincangkan isu kenaikan kos haji musim depan dengan kerajaan.


Awal tahun ini, TH menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632 dan daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980, manakala bukan B40 sebanyak RM12,980.


Mengulas lanjut, Idris berkata sehingga kini, belum ada perbincangan dengan pihak TH berkenaan kenaikan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi.


Sumber: Bernama

Bakal haji tak boleh terus bergantung pada bantuan kewangan, perlu sedia bayar lebih



Sejurus berakhirnya musim haji tahun ini, isu kemungkinan akan berlaku lagi peningkatan bayaran mengerjakan ibadah itu untuk jemaah muassasah di negara ini kembali dibicarakan.


Kemungkinan berlaku peningkatan bayaran itu dibayangkan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar pada bulan lepas, apabila beliau menyatakan Tabung Haji dijangka membincangkan mengenai isu kenaikan kos musim depan dengan kerajaan.


Bagi mereka yang terbabit dalam pengurusan haji, peningkatan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi, jika berlaku, dianggap wajar kerana kos mengerjakan ibadah itu sebenarnya meningkat saban tahun atas beberapa faktor termasuk inflasi, pergerakan nilai tukaran mata wang, pengenalan caj dan cukai baharu oleh kerajaan Arab Saudi, selain pembangunan di Makkah dan Madinah.


Meskipun begitu, kata mereka, kenaikan kos itu tidak begitu dirasai oleh jemaah haji muassasah negara ini lantaran langkah Tabung Haji yang melaksanakan bantuan kewangan.


Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, peningkatan kos haji adalah perkara yang perlu diterima oleh bakal jemaah kerana ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.


Menurutnya, kenaikan itu adalah fenomena yang sudah dijangka, khususnya pascapandemik Covid-19.


"Memang dijangka kos haji meningkat setiap tahun atas beberapa faktor termasuk penginapan jemaah, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji serta lain-lain perkara yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di saat kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.


"Umat Islam yang berhasrat untuk menunaikan haji perlu bersedia dengan kenaikan kos itu, dan mereka (bakal haji) tidak boleh bergantung pada subsidi atau bantuan kewangan semata-mata untuk menunaikan ibadat itu," katanya kepada Bernama.


Ini juga seiring dengan pendekatan maqasid syariah (matlamat dalam setiap hukum syarak) yang mana antara kewajipan menunaikan fardu haji adalah bagi mereka yang berkemampuan termasuk dari sudut kewangan.


Justeru, sekiranya bakal jemaah haji memahami konsep berkemampuan mengikut lunas Islam, pasti secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban kos subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji.


"Istilah kemampuan ini juga boleh dipecahkan kepada aspek-aspek berikut, iaitu bakal haji berkemampuan membayar kos tunai haji, ada bekalan nafkah untuk waris yang ditinggalkan, ada pengangkutan, aman perjalanan (tiada kekacauan), sihat tubuh badan dan mempunyai masa dan kebenaran (untuk menunaikan haji).


"Sudah tiba masanya Tabung Haji tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi dan bakal haji perlu bersedia untuk membayar lebih serta tidak boleh lagi bergantung pada bantuan Tabung Haji semata-mata," katanya.


Tabung Haji dianggar membelanjakan hampir RM200 juta untuk musim haji tahun ini bagi menampung sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah itu.


Katanya, sebagai 'orang lama' dalam bidang pengurusan haji, beliau berpandangan pemberian bantuan kewangan haji itu perlu diteliti semula termasuk hanya diberikan kepada bakal haji yang benar-benar layak.


Ini kerana bantuan kewangan yang diberikan secara langsung oleh Tabung Haji pada masa ini tidak hanya dimanfaatkan oleh golongan sasaran tetapi turut dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi dan berkemampuan membayar kos sebenar.


"Saya pernah berkhidmat dengan Tabung Haji (selama) kira-kira 25 tahun, dan saya melihat peruntukan subsidi yang diberikan kepada jemaah muassasah ini terlalu tinggi hingga mencapai lebih 60 peratus untuk seorang jemaah.


"Bagi saya, secara peribadi, Tabung Haji kena nilai semula pemberian subsidi haji secara menyeluruh sebab kita tidak mahu, jika bantuan itu diberikan dalam jangka masa panjang, ia akan beri kesan kepada Tabung Haji itu sendiri. Bagi saya, kalau nak bagi bantuan pun cukup sekadar 30 peratus.


"Dalam situasi ini, kita kena berbalik kepada maqasid syariah. Selain keupayaan kewangan, mereka yang layak juga mestilah sihat tubuh badan dan bebas penyakit. Saya lihat ada jemaah (ketika melakukan ibadah haji) menggunakan kerusi roda dan ditolak dengan bantuan petugas haji, sedangkan mereka yang sakit ini tidak wajib pun menunaikan haji," tambahnya.


Pada awal tahun ini, Tabung Haji menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632.


Daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980, manakala bagi yang bukan daripada B40 pula sebanyak RM12,980.


Pandangan senada turut disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours Mohamad Adzri Othman yang berkata, pemberian bantuan itu seharusnya dibuat secara bersasar dengan memfokuskan pada mereka yang kurang berkemampuan, bukan meliputi semua jemaah seperti amalan semasa.


"Bantuan yang diberikan biarlah adil, sedangkan ada dalam kalangan jemaah muassasah ini daripada mereka yang mampu pergi haji tanpa bantuan (kewangan) Tabung Haji pun. Bagi saya perkara seperti inilah yang perlu dinilai semula," katanya.


Mohamad Adzri berkata, jemaah seharusnya akur dengan peningkatan kos mengerjakan haji kerana ia seiring kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada setiap jemaah.


Namun menurutnya, jemaah haji di negara ini masih beruntung kerana bayaran yang ditetapkan itu masih rendah berbanding negara lain.


"Untuk jemaah muassasah, mereka yang mendapat subsidi hanya perlu membayar jumlah yang kecil berbanding kos sebenar ibadah itu.


"Jemaah swasta pula perlu membayar kos haji mencecah lebih RM30,000 seorang. Walaupun jumlah ini disifatkan agak besar, perkhidmatan kami berikan sebagai pengendali haji swasta adalah yang terbaik termasuk penginapan dan kemudahan pengangkutan selesa untuk jemaah," katanya.


Sumber: Bernama

'Lelaki hebat kalau di luar rumah, tapi pinggan sebiji di rumah tak kuat nak angkat'



Tular di media sosial satu hantaran yang mengatakan lelaki sememangnya hebat terutamanya dalam soal persahabatan di mana ada yang sanggup tampil membantu apabila rakan berada dalam kesusahan. 


Bagaimanapun, kehebatan itu berakhir apabila ia dikaitkan dengan kerja-kerja di dapur di mana golongan itu bukanlah ringan tulang. 


"Kehebatan lelaki di luar rumah memang hebat. Motosikal kawan rosak, no problem. Bumbung rumah janda bocor, no problem. Member pindah rumah, no problem. 


"Tetapi, pinggan sebiji di rumah tak kuat nak angkat." 




Majoriti netizen khususnya wanita bersetuju dengan hantaran itu, tetapi tidak kurang juga yang menafikan. 


"Dengan kawan mereka, jam 3 pagi keluar lagi kalau ada kecemasan. Bantu kawan-kawan. Tetapi apabila berada di rumah, sampah tak pernah buang dan pinggan tak pernah dibasuh. 


"Mungkin kaum lelaki ini begitu semuanya. Dengan kawan ni, mereka akan saling bantu membantu, suami saya pun sama," kata Farrah Hannan. 


"Perit tetapi benar. Pokok pangkalnya didikan mak ayah. Kalau jenis mak yang biasakan anak lelaki angkat jari, tak ada masalah. Yang jenis semua mak sedia dan siapkan itu yang bawa sampai ke tua. Jadi masalah pada bini masing-masing. 


"Laki aku tipikal Melayu, memang aku selalu hamok. Mak mertua aku memang betul-betul jadi khadam untuk anak-anak dan suami. Dan dia juga bangga buat macam tu. So how?" kata Thunder. 


"Laki kau yang malas, habis pukul rata semua lelaki. Ramai dah lelaki basuh pinggan. Abang ipar aku siap basuhkan pinggan semua orang lagi di awal pagi hujung minggu," kata Husin. 


"Bukan semua lelaki macam tu. Ayah dan suami saya semua basuh pinggan sendiri dan anak-anak lelaki saya semuanya sudah dilatih membasuh pinggan, tolong ampai pbaju, baru basuh, cuci toilet dan vakum rumah. 


"Sikap lelaki ini bergantung pada didikan dari mak ayah mereka. Kalau mak jenis manjakan anak lelaki, memang akan bawa perangai itu bila dah kahwin," kata Yenil. 


Sumber: Kosmo, Facebook

'Tak cukupkah Najib 'didera'? Mana budaya maaf-maafan orang Melayu & Islam?' - Naib Presiden MCA



Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker mengatakan beliau tidak dapat memahami perasaan kebencian yang ada pada orang politik di negara ini, malah membangkitkan persoalan mengenai budaya bermaaf-maafan orang Melayu serta Islam berhubung kes bekas perdana menteri, Najib Razak. 


Menurut pemerhatian Ti, ada di antara mereka yang tidak jemu dan mahu melihat Najib terseksa dan sengsara di penjara. 


"Kadangkala saya tak faham bahang kebencian politikus ini. Ada yang tak sudah-sudah mahu melihat Najib Razak terseksa dan sengsara di penjara.


"Tak cukupkah didera minda, fizikal dan semangatnya? Manalah budaya maaf-maafan orang Melayu dan Islam?" katanya. 



Tweet pemimpin MCA itu mengundang kecaman netizen yang menganggap Ti seolah-olah cuba menormalisasikan jenayah yang telah dilakukan oleh Ahli Parlimen Pekan itu. 


"Orang lain keluar penjara nak bawa Grab Car pun tak boleh. Kenapa korang tak maafkan? Bekas banduan nak kerja jadi pengawal keselamatan pun tak layak, kenapa nak dera emosi dan mental mereka yang sudah bertaubat dan cuba kembali kepada masyarakat? Ada korang fikir tentang itu? Kalau geng kau, laju je (backup)," kata Zohalrwan. 


"Seksa? Sengsara? Ada betul ka? Berapa jam sebenarnya dia berada di penjara? Sebelum you mau ungkit konsep maaf-maafan dalam Islam, tolong research topik itu dulu," kata Rahah Ghazali. 


"Kelakarnya, kalau ada orang datang ke rumah awak dan mencuri barangan, kemudian ditangkap dan dipenjara, tetapi disebabkan pengaruhnya dia dapat menjalani hukuman itu di dalam bilik berhawa dingin, dengan perkhidmatan internet, awak nak kata okay dan memaafkan dia?" kata Iceman. 


"Selepas ini, ramailah pencuri, perompak dan seangkatan dengannya akan buat salah dan kemudian kita maafkan. Ini taraf pemimpin Barisan Nasional (BN) punya pemikiran. Kalau menang juga, tak tahulah nak cakap apa," kata Aslam Ramli. 




Sumber: Twitter Ti Lian Ker

Kadar inflasi Malaysia masih rendah, Bank Negara perlu lebih agresif naikkan OPR



Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memberikan tindak balas pada 'kadar yang lebih agresif" dari segi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), menurut Manulife Investment Management.


Ketua Peruntukan Aset untuk Asia Luke Browne berkata memandangkan kadar inflasi di Malaysia masih dianggap rendah berbanding negara lain, beliau memilih untuk menyaksikan kenaikan kadar faedah yang agresif dan pada kadar cepat serta bergerak ke hadapan.


"Jelas sekali, ia perlu dibuat dalam konteks situasi semasa, kita memerlukan kejelasan data, memastikan ia adalah keputusan yang tepat dan kemudian bergerak dengan agresif," katanya pada taklimat media secara maya mengenai prospek pelaburan suku keempat 2022 Manulife hari ini.


BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kelima pada 8 Sept, 2022.


Sementara itu, Ketua Strategi Makro untuk Asia Sue Trinh berkata Malaysia dijangka mendapat manfaat di rantau ini daripada kejutan makanan dan tenaga serta potensi kejutan mudah tunai berikutan ketidaktentuan inflasi negara yang kekal sederhana.


Beliau berkata persekitaran yang tidak menentu di negara ini mengurangkan tekanan ke atas BNM untuk mengekalkan dasar monetari yang agresif dan pembukaan sempadan antarabangsa turut menyokong pemulihan ekonomi negara.


Indeks Harga Pengguna Malaysia naik sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.


Indeks makanan meningkat 6.9 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan tersebut.


Mengulas mengenai risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, Trinh berkata risiko masih boleh wujud, termasuk ketidaktentuan politik tempatan yang boleh memberi ancaman kepada pelaksanaan dasar fiskal untuk menyokong pertumbuhan.


"Malaysia juga terdedah kepada potensi kemelesetan ekonomi global berdasarkan negara ini merupakan pengeksport kepada negara-negara utama dunia seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah," katanya.


Sumber: Bernama

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo