BN tidak akan menamakan mana-mana pemimpin jadi calon PM ke-10? Minta tangguh lagi?



Berita Harian melaporkan, 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk tidak menamakan mana-mana pemimpin daripada PH atau PN sebagai calon Perdana Menteri.


Sebaliknya, mereka bersetuju mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.


Sumber parti itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN dijadual menandatangani satu akaun bersumpah (SD) pagi ini bagi menzahirkan cadangan itu untuk dipersembah kepada Agong sebelum jam 2 petang ini.


Kesepakatan itu tercapai selepas BN tidak mempunyai jumlah Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan, namun sedar suasana politik tidak menentu juga memaksa fungsi sebuah kerajaan sementara diteruskan khususnya dalam menjamin kelancaran urusan Parlimen dan pentadbiran kerajaan.


"BN tak boleh menawarkan sebarang rundingan dengan mana-mana gabungan membentuk kerajaan. BN parti yang kalah dan bilangannya kecil. Gabungan yang menang seharusnya berunding mencari jumlah sokongan dari parti lain untuk bentuk kerajaan," katanya.


Sumber: Berita Harian

'Kami tidak mahu GPS bekerjasama dengan PN' - Baru Bian dakwa PN-PAS pentaksub perkauman



Bekas Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak tawaran Perikatan Nasional (PN) dan PAS untuk bergabung membentuk Kerajaan Persekutuan, kerana parti berkenaan adalah pentaksub perkauman.


Baru Bian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mendakwa wujud agenda mengkristiankan Malaysia yang ditaja oleh Pakatan Harapan (PH). 


Kenyataan Muhyiddin itu katanya bukan sahaja tidak benar, malah berbahaya kerana boleh menghasut orang Islam menentang penganut Kristian. 


"Orang Kristian di Sarawak menolak kenyataan ini dan kami tidak mahu GPS bekerjasama dengan PN dalam apa jua cara atau bentuk," katanya. 


Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan, ucapannya telah diambil di luar konteks oleh pihak lawan untuk mencemarkan imejnya.


Tambahnya lagi, orang Sarawak masih belum lupa dengan kenyataan Presiden PAS Hadi Awang yang menghina Orang Asal Sarawak dengan merujuk mereka sebagai pengundi 'jahil bercawat'. 


Semalam, media juga melaporkan ada sebahagian ahli GPS sendiri yang kurang senang dengan keputusan pengerusinya, Abang Johari, yang membuat keputusan bergabung dengan PN tanpa berbincang dengan mereka terlebih dahulu. Ini kerana mereka bimbang parti PAS.


Pagi ini GPS mengeluarkan kenyataan pihaknya nekad mengemukakan cadangan penubuhan Kerajaan Persekutuan yang membabitkan gabungan PN, PAS, GPS dan GRS.


Sumber: Free Malaysia Today

GPS nekad kemukakan cadangan PN + BN + GPS + GRS untuk tubuh Kerajaan Persekutuan

Foto Borneo Post


Gabungan Parti Sarawak (GPS) nekad mengemukakan cadangan menubuhkan Kerajaan Persekutuan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan GPS, walaupun ada pemimpin di Sarawak termasuk ahli GPS sendiri yang membantah keputusan Pengerusi GPS, Abang Johari Abang Openg. 


GPS berkata, gabungan yang dicadangkan itu wajar diterima kerana ia mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. 


Selain itu, GPS menegaskan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara, melebihi kepentingan peribadi. 


"Berikutan kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.


"Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara," kata kenyataan GPS hari ini, memetik laporan dari Harian Metro


Ahad lalu, Abang Johari mengumumkan GPS bersetuju dengan cadangan membentuk Kerajaan Persekutuan bersama PN, BN, dan GPS. Malah, GPS turut menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dipiliha sebagai Perdana Menteri kali kedua. 


Tetapi pengumuman Abang Johari itu menimbulkan rasa kurang senang ahli GPS yang mendakwa Premier Sarawak membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa berbincang dengan mereka. 


Ini kerana mereka bimbang dengan tindakan PN yang mempergunakan agama pada saat berkempen di malam PRU15 di mana Muhyiddin mendakwa wujudnya agenda Yahudi dan Kristian mahu mengambil alih Malaysia.  Malah, Muhyiddin secara jelas mendakwa berlakunya agenda mengkristiankan Malaysia yang ditaja oleh Pakatan Harapan (PH). 


Namun sehingga kini, kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak disiasat ataupun diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Sedangkan di media sosial terutamanya platform TikTok mula menyebarkan fahaman yang salah mengenai Peristiwa 13 Mei akibat dari kenyataan tersebut.

'Tengoklah kesan daripada ahli politik guna kempen bersifat perkauman & agama telah lakukan pada anak muda kita' - Netizen



Sewaktu para pemimpin sebuah gabungan politik berbangga dengan pencapaiannya yang mendapat sambutan luar biasa di PRU15, di media sosial terutamanya TikTok pula sedang tular video-video yang dimuat naik oleh golongan muda yang dipercayai terpengaruh dengan dakwaan pemimpin berkenaan dalam satu siri ceramah politiknya. 


Baca: (Video) Ada kumpulan Yahudi, Kristian rancang ambil alih Malaysia melalui PH - Muhyiddin didakwa pergunakan agama untuk takutkan pengundi Melayu


Di ceramah itu, ketua gabungan politik itu berkata, Di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, kalau ada gereja hari Ahad, ada juga orang-orang Melayu pergi sana. Rupanya dah masuk Kristian. 


"Itu saya tak fikir berkembang dengan pesat sebab sebahagian besar kita adalah orang Islam. Tetapi agenda puak-puak dan kaum-kaum seperti ini adalah niat mereka untuk mengambil alih Malaysia satu daripada koloni dia," katanya.


Kenyataan itu dipercayai telah menyebabkan golongan belia khusus pengundi baharu terpengaruh dan mula memuat naik video 'kempen' secara tidak langsung mempergunakan agama bagi tujuan meraih undi. 












Bukan itu sahaja, malah pengguna TikTok di bawah umur juga dikesan sudah mula terpengaruh dengan kenyataan tersebut, berdasarkan perkongsian ibu bapa mereka di media sosial. 





Difahamkan, video sedemikian mula memenuhi platform media sosial sejak sehari sebelum hari pembuangan undi yang dipercayai dimuat naik dan menyasarkan golongan pengundi Melayu untuk meraih undi mereka kepada gabungan politik berkenaan.



Menyedari perkara itu mula tular, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan menghina institusi diraja di media sosial. 


"PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna-pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam. 


"Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," tegas beliau. 




Sementara itu, orang awam yang prihatin turut menggesa pemimpin gabungan tersebut tampil bertanggungjawab kerana telah menimbulkan kebencian antara kaum dan menyebarkan idealogi yang salah sehingga menyebabkan golongan terbabit salah faham dan cuba mencetuskan sesuatu yang tidak wajar berulang kembali. 

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dituntut memainkan peranannya untuk mengekang kejadian yang tidak diingini dari terus menular dan menjejaskan keharmonian negara. 



Sumber: PDRM, Tiktok, Facebook netizen

PN dapat sambutan luar biasa di PRU15 adalah kerana hasil Jelajah Prihatin & Jelajah PN Best



Perikatan Nasional (PN) dikatakan mendapat sambutan luar biasa dari pengundi pada PRU15 meskipun baru sahaja ditubuhkan adalah disebabkan penganjuran program Jelajah Prihatin dan Jelajah PN Best. 


Ketua Badan Perhubungan PN, Mohd Ikmal Abu Bakar berkata, dua program itu adalah idea daripada pasukan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Senator Datuk Razali Idris. 


Wan Saiful dikatakan pantas mengambil alih dan menyusun gerak kerja penerangan di peringkat PN, walaupun tugas itu bukan tanggungjawabnya. Selain itu, Wan Saiful berterusan memantau kempen penerangan seluruh negara tatkala sibuk berkempen di Tasek Gelugor. 


Sementara itu, Razali selaku Pengarah Komunikasi dan Penerangan di Bilik Gerakan Utama PN Nasional menjalankan amanahnya dengan teliti sehinga membolehkan pasukan penerangan melaksanakan semula perkara yang dirancang dengan baik. 


Hasilnya dari gerak kerja yang mantap itu menyumbang kepada pembentukan gelombang yang memenangkan PN. 


"Gelombang ini mesti diteruskan agar ia turut menyumbang kepada pilihan raya negeri tidak lama lagi," katanya. 


Sumber: Sinar Harian

Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang ini



Kemelut pembentukan kerajaan persekutuan baharu bakal ditamatkan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu yang akan diumumkan beberapa jam lagi. 


Menurut laporan Berita Harian, beberapa Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dikatakan telah bertemu dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn pagi ini. 


Pertemuan itu dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama di antara dua gabungan itu di mana Ahli Parlimen BN akan menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong PH membentuk Kerajaan Persekutuan baharu. 


Difahamkan, pembentukan kerajaan baharu itu akan menggabungkan 82 kerusi yang dimenangi PH bersama 26 wakil dari BN, diikuti 3 wakil dari Warisan dan dua dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia. 


Dalam pertemuan pemimpin PH dan BN di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur semalam, beberapa pemimpin BN menegaskan mereka enggan bekerjasama dengan PH kerana tidak menggemari DAP. 


Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, 26 daripada 30 Ahli Parlimennya akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan persekutuan. 


Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah RiĆ”yatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 2 petang ini. 


Sumber: Berita Harian

BN dah ada keputusan, akan keluar kenyataan media untuk nyatakan sokongan sama ada kepada PH atau PN



Hari yang dinantikan telah tiba. Barisan Nasional (BN) dilaporkan telah membuat keputusan untuk bergabung dengan parti pilihan bagi membentuk kerajaan persekutuan yang akan diketahui selewat-lewatnya jam dua petang ini. 


Semalam, pemimpin tertinggi komponen-komponen parti BN telah mengadakan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung selama dua jam semalam. 


Menurut sumber, mesyuarat berjalan dengan lancar dan semua telah sebulat suara mencapai keputusan serta akan mengeluarkan kenyataannya hari ini. 


"Mesyuarat okey, semua bersatu hati. Dah ada keputusan. Nanti BN akan keluarkan kenyataan media. Cuma tak pasti apa isi kandungan kenyataan itu nanti," kata sumber kepada media Sinar Harian. 


Semalam, beberapa pemimpin tertinggi UMNO seperti Mohamad Hasan, Hishamuddin Hussein dan Ismail Sabri Yaakob, mengeluarkan kenyataan di akaun media sosial masing-masing bahawa mereka menolak kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH). 


Ketiga-tiga pemimpin UMNO itu juga rela dipecat dari parti daripada dipaksa menyertai PH yang mempunyai DAP. 


Berdasarkan pemerhatian, majoriti ahli UMNO lebih cenderung bekerjasama dengan Perikatan Nasional, meskipun sebelum ini Pengerusi PN Muhyiddin Yassin telah mengumumkan BN adalah musuh utama mereka.

'Mesyuarat Biro Politik kata sebaiknya kerajaan pusat & negeri sama' - Saarani beri bayangan PH akan tubuh Kerajaan Persekutuan esok?



Umum mengetahui Kerajaan Perak dibentuk melalui campuran Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). 


Walaupun BN hanya memenangi sembilan kerusi DUN berbanding PH yang menang 24 kerusi, PH telah bersetuju menawarkan jawatan Menteri Besar kepada BN. 


Dengan itu, Saarani Mohamad sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar ke-15 dan telah selamat mengangkat sumpah pada hari ini di Istana Iskandariah. 


Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, beiau yakin gabungan PH dan BN di Perak mempunyai niat baik dan bertujuan memberi fokus kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat. 


Semasa ditanya sama ada kerajaan gabungan PH dan BN yang berlaku di Perak, akan turut berlaku di peringkat pusat yang akan diumumkan pada esok, Saarani berkata perbincangan mesyuarat Biro Politik UMNO yang dihadirinya semalam seolah-olah memberi bayangan itu. 


"Dalam mesyuarat itu saya sudah bertanya kepada Biro Politik dan juga kepada Presiden (Zahid) adakah Perak perlu terikat dengan keputusan di (peringkat) Pusat (Persekutuan). 


"Jawapannya, sebaik mungkin kita samalah. Apa yang berlaku di Pusat dan negeri tetapi jika negeri perlu untuk melakukannya terlebih dahulu, maka dibenarkan. 


"Sebab itu saya dengan mandat yang diberikan oleh Presiden dan Biro Politik, maka saya maklumkan kepada istana bahawa saya seda untuk tubuhkan kerajaan bersama PH (hari ini)," katanya. 


Dalam PRU15, BN hanya sekadar mampu memenangi sembilan kerusi, manakala PH 24 kerusi dan PN 26 kerusi. Gabungan PH dan BN menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan Perak (nama sementara) yang memilikik 33 kerusi DUN, sekali gus melepasi majoriti mudah. 


Sumber: Harian Metro

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo