GPS kekal sokong PN, Muhyiddin terima sokongan tertinggi 102 Ahli Parlimen setakat ini



Hari keempat selepas tamatnya PRU15, Malaysia sehingga ke hari ini masih belum mengumumkan Kerajaan Persekutuan baharu, ekoran kedua-dua gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai kemenangan majoriti. 


Pada ketika ini, rakyat dinasihatkan untuk bertenang dan menunggu keputusan dari pihak Istana Negara dengan penuh sabar. Selain itu, rakyat turut diingatkan untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. 


Terkini, wartawan Astro Awani melaporkan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih kekal dengan keputusannya untuk menyokong PN membentuk Kerajaan Persekutuan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), meskipun GPS kini sedang menerima asakan dari rakyat Sarawak yang membantah jalinan kerjasama berkenaan sehingga wujudnya petisyen bantahan terhadap GPS. 


"Terkini, GPS kekal dengan pilihannya, menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10. 


"Dengan anggar PN mempunyai 73 kerusi, GPS 23 dan GRS 6 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhannya 102 kerusi," katanya. 



Sementara itu, sekumpulan aktivis Melayu dilihat mengadakan himpunan aman tidak jauh dari Istana Negara, menggesa Yang di-Pertuankan Agong untuk mendengar permohonan umum. 


Kain rentang yang dibawa kumpulan itu tertera tulisan, "Daulat Tuanku! Pohon dengar rintihan umum!" dan turut kelihatan mereka memegang sepanduk yang menunjukkan gambar Muhyiddin, "Abah PM 10". 



Sumber: Twitter Melissa Goh, Firduas Azil

'Muhyiddin bongkak, kalau berani dedahlah nama 115 MP tersebut'- Puad cabar Pengerusi PN



Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Puad Zarkashi membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai bongkak dan angkuk kerana menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH). 


Puad menerusi hantarannya di Facebook berkata, Muhyiddin bukan sahaja bongkak, malah tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong secara terbuka. 


"Keluar dari Istana Negara semalam, Muhyiddin tegas mengatakan PN tolak PH untuk tubuh kerajaan perpaduan. Dia sign, tetapi tetap tulis 'Tidak bersetuju'. 


"Muhyiddin jelas tidak hormat Yang di-Pertuan Agong. Muhyiddin dakwa sudah hantar 115 surat akuan berkanun (SD) ahli Parlimen yang sokong dia jadi Perdana Menteri. 


"Dia seperti menyalahkan istana yang kata SD itu tidak lengkap. Kalau berani, dedahkanlah nama 115 MP tersebut. Mana tahu ada nama MP dari Barisan Nasional (BN). 


"Kalau tak berani, jangan setakat Istana, rakyat pun tidak percaya. 


"Apa yang terjadi semalam ialah, Muhyiddin berwatak angkuh dan pendendam. Layakkah dia jadi Perdana Menteri semula? Ustaz Hadi di sebelahnya hanya mengangguk. Itulah Pas," katanya. 


Di ruangan komen, netizen pula bersetuju dengan pandangan Puad. 


"Dah pernah buat kerajaan tebuk atap dan laluan tingkap. Bagi dia, tak salah buat sekali lagi. Bahaya sungguh orang yang nampak lemah tetapi bergeliga di belakang tabir," kata Maimunah. 


"Itulah, saya pun hairan dengan sikap seseorang yang dalam keadaan tidak seberapa waras dalam membuat keputusan, kenapa nak terburu-buru rebut jawatan Perdana Menteri? Sedangkan kita ada YDPA yang bijaksana," kata Hafiz. 


"Bukan benda baru, ingat lagi semasa polemik darurat covid? Bagaimana dia memanipulasikan sistem demi kepentingan politik sendiri sehingga menyebabkan YDPA murka. 


"Pas pun dua kali lima sama naik. Bukankah Takiyuddin yang umumkan dalam Parlimen yang darurat tidak disambung, tanpa memaklumkan kepada YDPA terlebih dahulu, sedangkan proklamasi dan penarikan darurat adalah kuasa prerogatif YDPA," kata Emulzam. 



Sumber: Facebook Puad Zarkashi

Polis lancar sekatan jalan di seluruh negara untuk jamin tahap keselamatan & ketenteraman awam



Polis melancarkan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi-lokasi strategik di setiap daerah di seluruh negara mulai semalam sehingga satu tarikh ditetapkan bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.


Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pelaksanaan SJR itu adalah sebahagian daripada usaha PDRM untuk mencegah jenayah melalui peningkatan tahap omnipresence atau kehadiran anggota polis dan akan dijalankan secara penugasan 24 jam.


“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan SJR akan dijalankan pada waktu puncak dan waktu siang.


“Orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui SJR terutamanya di luar waktu puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Acryl Sani berkata masyarakat tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian dan PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan adalah terkawal.


Sumber: Bernama

'Pemilik akaun Williamkhor87 telah ditangkap' - Cetus kenyataan provokasi terhadap YDPA, lelaki ditahan PDRM



Sejak semalam, tular gambar tangkap layar kenyataan seorang lelaki bernama William Khor (Williamkhor87) yang meminta rakyat bangkit dan protes terhadap institusi diraja. 


William didakwa berbuat demikian kerana tidak berpuas hati, namun tidak jelas lelaki terbabit berpihak kepada siapa. 


Kenyataan yang dimuat naik William bagaimanapun jelas adalah satu kesalahan besar kerana melakukan ugutan bunuh terhadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billal Shah. 


Ramai netizen mengecam tindakan lelaki itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya yang jelas telah mengganggu gugat ketenteraman awam di media sosial. 


Susulan kenyataan itu tular, satu sumber mendakwa suspek telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu serbuan di Kajang. 


Menurut sumber, PDRM akan mengeluarkan kenyataan media berhubung penangkapan suspek. 



Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberi amaran kepada orang ramai agar tidak memuat naik sebarang kandungan atau hantaran yang boleh menimbulkan situasi yang mengancam keselamatan di media sosial. 


Ini berikutan PDRM telah mengesan beberapa kandungan sensitif yang menyentuh sensitiviti perkauman telah dimuat naik di beberapa platform media sosial susulan keputusan PRU15 pada Ahad. 


"PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada semua pengguna media sosial agar mengekang daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebarkan kandungan bersifat provokasi yang boleh menyebabkan kegusaran awam. 


"Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," katanya. 


Sumber: Twitter Hazri

GPS dititah menghadap Agong hari ini, lebih 50,000 rakyat Sarawak gesa GPS tolak kerjasama dengan PN



Wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan telah dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billal Shah hari ini. 


"Ya, saya boleh mengesahkan Seri Paduka Baginda menitahkan wakil GPS menghadapnya hari ini. Sebanyak lima wakil akan menghadap Tuanku," kata sumber memetik laporan dari MalaysiaKini. 


Antara pemimpin yang akan menghadap Agong adalah Richard Riot dari SUPP, Aaaron Ago Dagang dari PRS, Fadillah Yusof dan Alexander Nanta Linggi dari PBB. 


Sementara itu, lebih dari 50,000 pengguna media sosial di Sarawak telah menandatangani dua petisyen menggesa GPS terutama Ahli Parlimennya yang beragama Kristian menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). 


Rakyat Sarawak membantah gabungan GPS bersama PN gara-gara Pengerusinya, Muhyiddin Yassin, mengeluarkan kenyataan bahawa wujudnya agenda mengkristiankan Malaysia yang dibiayai oleh Pakatan Harapan (PH), berketika berkempen di PRU15 lalu. 


Muhyiddin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan kenyataannya telah diambil di luar konteks. 


"Kami rakyat Sarawak berharap GPS tidak bekerjasama dengan PAS untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15. 


"Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama, kami menghormati Islam adalah agama rasmi di Semenanjung Malaysia," kata John Lim, individu yang membuat petisyen berkenaan.




Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'Kelalan, Baru Bian menggesa GPS menolak kerjasama dengan PN dan parti komponennya, Pas yang didakwa sebagai pentaksub perkauman. 


Bekas ketua PKR Sarawak itu juga menegaskan keharmonian yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak perlu dikekalkan. 


Agong titah tubuh kerajaan perpaduan, Anwar tiada masalah tetapi Muhyiddin tak setuju



Selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara petang tadi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim memaklumkan, siapa yang menjadi Perdana Menteri ke-10 masih belum ditentukan. 


Dan disebabkan itu, Yang di-Pertuan Agong memberikan tempoh masa (tidak ditetapkan) untuk perbincangan lanjut dijalankan sebelum kerajaan baharu ditubuhkan. 


Yang di-Pertuan Agong sebelum itu ada menitahkan supaya PH dan PN membentuk kerajaan perpaduan. Malangnya, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana titah itu bertentangan dengan pendirian PN. 


Ketika diminta menandatangani satu dokumen, Muhyiddin menyatakan beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. 


Selain itu, Muhyiddin menunjukkan bukti bahawa PN sememangnya ada menghantar surat akuan berkanun (SD) yang mencukupi untuk dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, semalam, lebih awal dari PH. 


Menurutnya, dokumen 115 SD itu dihantar melalui emel kepada Istana Negara. Bagaimanapun hari ini beliau dimaklumkan bahawa PN juga tidak mendapat majoriti yang mencukupi. 


"Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu, tapi buktinya ada di sini," katanya. 



Sedangkan sejak dari semalam, kepimpinan Barisan Nasional (BN) menegaskan mana-mana Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD menyokong pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah terbatal dan perbuatan itu juga melanggar ketetapan parti serta boleh dikenakan tindakan. 


Sementara itu, Anwar memaklumkan, beliau tiada masalah untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti dicadang oleh Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan sedemikian sejak dari dulu. Namun, Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob ketika itu tidak bersetuju.



Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini, Astro Awani, Sinar Harian

'Tiada Ahli Parlimen BN sokong pencalonan Muhyiddin jadi PM ke-10' - BN minta semua pihak bertenang



Dewan Tertingi Barisan Nasional (BN) memaklumkan Ahli-Ahli Parlimen BN tidak pernah memberi sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10. 


Setiausaha Agung N, Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan medianya berkata, pemakluman mengenai perkara itu juga telah dimaklumkan kepada pihak Istana Negara. 


"Tiada mana-mana Ahli Parlimen BN yang telah memberi sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan pemakluman mengenai perkara ini telah dibuat kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya.


Dalam pada itu, BN meminta semua pihak bertenang dan pada masa ini BN masih kekal dengan pendirian mereka sebagai pembangkang. 


"Dewan Tertinggi juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat. 




"Sehubungan itu, BN meminta semua pihak yang berkaitan agar bertenang (cooling-off period) ketika mendepani situasi politik negara. 


"Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan BN adalah kekal seperti sekarang," katanya.

(Video) 'Sabar, saya akan buat keputusan secepat mungkin' - Agong



Jam dua petang sudah berlalu, rakyat masih menunggu keputusan Istana Negara untuk melantik Perdana Menteri ke-10 yang ditunggu sejak selesainya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu. 


Media setakat ini melaporkan kehadiran kenderaan Polis Diraja Malaysia termasuk helikopter di ruang udara pejabat kediaman Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim. 


Hal itu menguatkan lagi jangkaan bahawa Anwar Ibrahim akan diiringi ke Istana Negara dan bakal dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.




Di platform Twitter, netizen tidak melepaskan peluang untuk bertukar pandangan sehingga tweet yang membabitkan Agong, 10th Prime Minister, Anwar Ibrahim, Istana Negara, PM10, PH or PN, dan Mahiaddin trending di platform berkenaan. 


Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong ditemui media memaklumkan, "Saya tidak boleh dedahkan apa-apa kerana saya tidak nampak apa-apa. Sabar, terima keputusan rakyat, keputusan Ahli Parlimen dan keputusan Agong. Biar saya buat keputusan secepat mungkin". 



Turut tersebar di media sosial klip video pendek orang awam terserempak dengan Anwar Ibrahim yang kelihatan ceria seakan-akan mengatakan segala persoalan dan penantian rakyat akan terjawab tidak lama lagi. 



Dalam masa yang sama, beberapa pemimpin UMNO dilaporkan masih mengeluarkan kenyataan tidak akan menyokong keputusan BN bergabung dengan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan kerana mahu berpegang kepada prinsip No Anwar, No DAP yang dilaungkan parti itu sebelum PRU15. 


Sehingga ke waktu ini, ramai ahli UMNO termasuk pemimpin kanannya berterusan mendesak Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berundur segera.


Tidak kurang juga ada pemimpin UMNO yang lain berkata, mana-mana Ahli Parlimen BN yang tidak menyokong keputusan Presiden atau Pengerusi, disarankan untuk keluar dari parti itu. 

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo