(Video) Pemimpin UMNO gesa SPRM siasat sumber dana Perikatan Nasional & Muhyiddin yang didakwa berbelanja mewah ketika PRU



Ditubuhkan pada Februari 2020, namun perbelanjaan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang didakwa terlalu mewah, mengundang persoalan banyak pihak mengenai sumber kewangannya. 


Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said ketika ditemui media berkata, pihaknya curiga dengan perkara itu dan UMNO Terengganu telah membuat keputusan untuk membuat laporan terhadap PN Terengganu pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat punca kewangan mereka. 


"Jadi, kita minta SPRM siasatlah dari mana punca kewangan yang begitu banyak. 


"Kita masih belum buat laporan kerana saya masih berada di Kuala Lumpur dan InsyaAllah dalam sehari dua lagi, kita akan buat laporan kepada SPRM," katanya. 



Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd PUad Zarkashi, menggesa SPRM menyiasat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berhubung sumber dana parti gabungannya. 


Puad berkata demikian susulan pendedahan Annuar Musa mengenai Muhyiddin yang menyimpan wang berjuta ringgit di kediamannya dan turut menyalurkan puluhan juta ringgit kepada UMNO ketika PRN Sabah. 


"Annuar Musa mendedahkan dalam bilik Muhyiddin ada puluhan juta untuk bantu UMNO di PRN Sabah. Annuar kata, "Saya tidak boleh berbohong, saya berdosa". Maksudnya cerita itu betul dan dia menjadi saksi.  


"Muhyiddin mesti disiasat di bawah AMLA (money laundering act). SPRM mesti siasat, mana dia dapat duit sebanyak itu. Itu juga berlaku di PRU15," katanya. 



Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini

'Cari mamat ni sampai jumpa!' - Remaja perempuan dakwa dicabul lelaki bertopi merah dalam lif



Seorang remaja perempuan mendakwa telah dicabul lelaki yang tidak dikenali ketika masuk ke dalam lif bangunan kediamannya di Putrajaya, baru-baru ini. 

Menurut sumber, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.50 malam, Rabu, di perumahan penjawat awam Presint 5, Putrajaya, ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah. 


Difahamkan, mangsa  keluar dari rumah untuk membeli ubat panadol dari sebuah kedai berhampiran. Ketika mahu pulang ke rumah, mangsa menaiki lif yang turut dinaiki oleh suspek bertopi merah. 


Kehadiran mangsa dan suspek di lobi berkenaan juga dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV). 


Sebaik saja masuk ke dalam lif, mangsa mendakwa suspek secara tiba-tiba menerkam dan menyerangnya secara seksual.


Tidak diketahui apa yang berlaku seterusnya di dalam lif tersebut, namun mangsa dipercayai berjaya menyelamatkan diri dan menceritakan kejadian tersebut kepada keluarganya. 


Kes itu kemudian ditularkan di media sosial dan berharap orang ramai yang mengenali suspek dapat tampil menyalurkan maklumat untuk tindakan lanjut. 


“Salam semua, nak minta tolong retweet! Cari mamat ni sampai jumpa! Anak buah kawan kena. Mangsa Kena sexual assault dalam lift dengan laki topi merah ni. Location, Presint 5, Putrajaya,” tulisnya.


Menurut sumber, mangsa mengalami trauma akibat dari kejadian itu.



Sumber: narshAli

'Saya mohon maaf jika pernah singgung rakyat & pemimpin GPS' - 2 pemimpin DAP mohon maaf secara terbuka



Dua pemimpin DAP hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka jika ada sebarang kenyataan yang dibuat selama ini pernah menyinggung perasaan rakyat dan pemimpin Kerajaan Negeri Sarawak.


Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum itu membuat perjumpaan dengan Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg, hari ini di kediaman pemimpin berkenaan yang berlangsung dalam suasana mesra. 



"Pada pagi ini saya membuat kunjung hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg di kediaman beliau di Kuching. 


"Dalam pertemuan itu, kami mengadakan perbincangan secara mesra dan saya memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka," katanya. 


Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, menerusi hantarannya di Facebook hari ini turut memuat naik permohonan maaf secara terbuka kepada Abang Johari dan kerajaan Sarawak atas tegurannya yang mungkin menyinggung perasaan pemimpin itu. 



"Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan Kerajaan GPS. 


"Masa depan negara mendahului segala-galanya. Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya. 


Tindakan dua pemimpin DAP itu mengundang respon positif orang ramai termasuk beberapa pemimpin parti politik yang memuji mereka sanggup merendahkan ego demi menjalinkan kerjasama untuk masa depan rakyat dan negara. 






Sumber: Facebook Anthony Loke, Lim Guan Eng

UMNO akan sertai Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional

Foto Utusan Malaysia



Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan memaklumkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti mana yang telah dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 


Bagaimanapun katanya, UMNO hanya akan menyertai Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), bukannya Perikatan Nasional (PN) kerana mahu memastikan kerajaan yang dibentuk itu kelak lebih stabil. 


"MKT juga bersetuju untuk semua wakil parti yang menang dalam PRU15 mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduaan atau kerajaan lain yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong. 


"Keputusan itu juga dibuat selepas Barisan Nasional (BN) memperhalusi perbincangan Jawatankuasa BN bersama PH dan PN," katanya. 


Dalam masa yang sama, MKT akan terus memberi sokongan kepada Zahid untuk kekal sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN. 


"MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia," katanya. 


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini

'MCA tak sedar ke mereka hanya menang 2 kerusi?' - Bung Moktar, Jamal Yunos selar tindakan MCA, MIC, PBRS gesa Zahid berundur



Tindakan MIC, MCA dan PBRS menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur secara terhormat dilihat seperti tidak sedar diri, mengundang beberapa pemimpin UMNO tampil meminta tiga presiden parti komponen itu mencerminkan diri sebelum berbuat demikian. 


Pengerusi BN Sabah, Moktar Radin berkata, gesaan MCA itu tidak berasas, malah tidak wajar kerana MCA pada PRU15 hanya berjaya memenangi dua kerusi Parlimen daripada puluhan kerusi yang ditandinginya. 


Bagi Moktar, tindakan MCA itu bukan sahaja tidak sedar akan kesalahan sendiri, malah tidak menghormati institusi presiden.


"MCA janganlah gesa itu ini, macam itu, ini gesa lagi pengerusi kita berundur, apa cerita? Mereka ini tidak sedarkah, hanya dapat menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan pengerusi kepada mereka? Itu pun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu. 


"Cerminlah diri itu terlebih dulu sebelum buat keputusan. Kita dalam BN ini tetap tenang menghadapi situasi, jangan kalutkan keadaan," katanya. 


Turut sependapat dengan Moktar, Pengarah Komunikasi BN Selangor, Jamal Md Yunos, yang mendakwa MCA dan MIC sudah mula bersikap besar kepala sedangkan prestasi mereka tidak begitu memberangsangkan pada PRU15. 


"MCA yang sepatutnya perlu berundur. MCA ini macam sudah tiada dan tak wujud. Saya rasa BN perlu dibubarkan dan UMNO bergerak sendirian selepas meneliti prestasi MCA, terutama di Bahagian Sungai Besar. 


"Tak guna ada komponen BN tetapi mereka seolah-olah jadi 'Abang Long', mereka besar kepala, padahal bukan apa-apa pun. Bertanding pun hanya berani di kawasan majoriti Melayu. Kalau berani, bertandinglah di Bukit Bintang, Seputeh dan sebagainya," katanya. 


Pada PRU15 lalu, parti berasaskan bangsa Cina, MCA, telah diberi amanah untuk bertanding di 44 kerusi Parlimen. Bagaimanapun, parti itu hanya menang dua kerusi sahaja. Keputusan itu sekali gus memperlihatkan MCA gagal teruk dalam mendapat sokongan masyarakat Cina. 


Sumber: Harian Metro

MCA, MIC & PBRS gesa Zahid berundur secara terhormat & digantikan dengan Mohamad Hasan



Tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengemukakan usul tidak percaya terhadap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, semalam. 


Usul berkenaan dikemukakan menerusi sepucuk surat yang ditandatangani oleh tiga presiden parti berkenaan dan dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir.


Menurut isi kandungan surat itu, mereka meminta Zahid berundur secara terhormat serta-merta dan digantikan dengan Timbalan Pengerusi, Mohamad Hasan. 


Gesaan itu dibuat kerana mereka mendakwa Zahid telah mengkhianati keputusan dicapai menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada jam 10 pagi kelmarin di mana BN berpendirian untuk berkecuali dan tidak menyokong Pakatan Harapan (PH), mahupun Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.


Difahamkan, perkara itu diusulkan oleh Presiden MIC dalam mesyuarat kelmarin. Sekiranya Zahid enggan berundur, mereka akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib. 




Sumber: Harian Metro

Kanak-kanak maut akibat kepala & perut dihentak guna objek tumpul sehingga ususnya pecah



Seorang kanak-kanak perempuan maut disyaki didera oleh bapa tirinya dalam kejadian di kediaman keluarga itu, kelmarin. 


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang berusia 11 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri telah dihantar ke Hospital Serdang pada jam 11.33 malam semalam. 


Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia di dalam ambulans yang  ketika itu sedang dalam perjalanan ke hospital. 


"Hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar mendapati, punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul di bahagian kepala dan perut yang menyebabkan ususnya pecah. 


"Selain itu, terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan," katanya. 


Ekoran kejadian itu, suspek berusia 53 tahun telah ditahan pasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 2.25 petang tadi di perkarangan Hospital Serdang. 


Ketika disoal siasat, suspek mengakui dia ada memukul mangsa sebelum ini dan termasuk menggunakan baldi di dalam tandas kerana bengang dengan mangsa yang selalu menimbulkan masalah di rumah semasa ketiadaan isterinya di rumah. 


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati. 


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640. 


Sumber: Harian Metro

'PH lebih gentleman berbanding PN masih dengan perangai lama cuba dealing senyap² curi 10 MP BN' - Asyraf Wajdi



Media hari ini melaporkan pemimpin Barisan Nasional (BN) bertemu dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan, tiga hari selepas BN bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).


Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui kenyataannya di Facebook memaklumkan, pertemuan itu dilakukan di Hotel St Regis pada jam 3.30 petang yang berakhir kira-kira jam 5.30 petang. 


Ramai yang tertanya-tanya mengenai hasil perbincangan selama dua jam itu dan dalam masa sama berharap kemelut penubuhan kerajaan persekutuan bakal ditamatkan dengan segera.


"Ramai bertanya mengapa kepimpinan BN berada di Hotel St Regis bertemu dengan kepimpinan PN? Sebenarnya pertemuan ini selaras dengan pendirian Dewan Tertinggi BN untuk bersikap terbuka bagi bertemu dan berunding dengan dua parti gabungan terbesar PH dan PN bagi membincangkan mengenai Kerajaan Perpaduan. 


"Dua hari lepas kepimpinan PH hadir bertemu dengan kepimpinan BN di Hotel Seri Pacific bagi membentangkan terma-terma dan tawaran mereka jika BN bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan bersama mereka. 


"Kepimpinan PH lebih 'gentleman' dan beradab dengan membuat pertemuan secara rasmi dengan tujuh orang kepimpinan BN bagi menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan kepimpinan BN. 


"Sebaliknya, PN masih denagn perangai lama cuba buat 'dealing' secara senya-senyap dan mencuri 10 orang Ahli-Ahli Parlimen (BN) untuk tandatangan Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. 


"Sebab itulah, pertemuan dengan PN yang sepatutnya dijadualkan sejak dua hari lalu terpaksa ditunda beberapa kali. Kononnya PN sudah cukup 'numbers', bilangan Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong perlantikan Muhyiddin sebagai PM. 


"Hinggalah apabila 10 SD yang ditandatangani oleh Ahli-Ahli Parlimen BN ditarik balik atas arahan Dewan Tertinggi BN, barulah mereka menyatakan kesediaan untuk bertemu pada hari ini jam 3.30 petang. 


"Itupun selepas mereka dititah menghadap YDP Agong kelmarin dan dimaklumkan secara rasmi bahawa Tan Sri sudah tidak cukup bilangan SD yang menyokong," katanya. 


Asyraf turut memaklumkan, Majlis Kerja Tertinggi akan mengadakan mesyuarat pada malam ini untuk memperhalus kedua-dua tawaran PH dan PN, sekali gus akur dengan titah Tuanku Agong yang menitahkan agar BN menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan. 


Namun Asyraf mengakui beliau tertanya-tanya mengapa PN begitu bongak dan sombong menolak titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar membentuk Kerajaan Perpaduan. 


Sumber: Asyraf Wajdi Dusuki

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo