'Kalau rasa tak sesuai & tak suka, jangan tengok' - Amelia Henderson jawab kritikan netizen tentang filem Pulau



Filem Pulau yang bakal ditayangkan pada 9 Mac depan, dihujani dengan kecaman netizen ekoran video trailer filem itu didakwa mengandungi banyak babak bertentangan dengan budaya tempatan. 


Pelakon utama filem itu, Amelia Henderson berkata, mana-mana individu yang berasa tidak sesuai atau tidak suka tidak perlu menonton filem tersebut. 


"Orang kena tengok movie itu dulu dan tengok karekter saya dalam filem itu macam mana. Tapi kalau dah tengok dan berasa tak sesuai dan tak suka, jangan tengok," katanya memetik laporan daripada Harian Metro. 


Dalam pada itu, Amelia juga menafikan dirinya terbabit dengan babak-babak panas. Malah dia menegaskan babak-babak panas itu tiada kena mengena langsung dengan jalan cerita untuk watak dilakonkannya dalam filem itu. 


"Saya fokus pada watak dan jalan cerita watak saya saja. Saya hanya ambil tahu mengenai watak saya saja supaya saya boleh menjiwai watak saya sepenuhnya dengan cara yang betul," katanya. 


Sejak video trailer filem itu dimuat naik oleh Twitter GSC, ramai yang mengkritik filem tersebut dan menggesa pihak berkuasa membatalkan tayangan filem tersebut. 


Sumber: Harian Metro

(Video) Pasangan kantoi berdua-duaan dalam kereta terkejut dihampiri polis, terus pecut melarikan diri sebelum berjaya ditahan



Polis menahan sepasang kekasih yang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta semata-mata mahu mengelakkan dari pemeriksaan polis sejauh 130 kilometer (KM), di Johor Bahru. 


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota dari Balai Polis Bandar Datuk Onn terdahulu membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan dan mengesan sebuah Proton Persona dalam keadaan mencurigakan. 


Sebaik saja anggota polis mendekati kenderaan itu, suspek secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan dan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri. 


Tindakan suspek itu mengundang anggota terbabit mengejarnya dan meminta bantuan daripada bilik gerakan IPD Johor Bahru Selatan yang kemudian mengerahkan 10 kereta peronda MPV untuk membantu menahan suspek. 


Tidak beberapa lama kemudian, suspek lelaki berusia 20 tahun bersama teman wanitanya berusia 18 tahun berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan di Ayer Hitam. 


Siasatan awal mendapati, suspek mengakui sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila mengetahui kereta peronda MPV menghampiri mereka lalu bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian. 


Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau kes berkaitan dadah. 




Ekoran kejadian itu, polis telah merampas Proton Persona, telefon bimbit dan wang tunai RM168. Kedua-dua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu. 


Video kejadian itu juga turut tular di media sosial yang menunjukkan beberapa kereta peronda MPV mengejar kenderaan suspek di Jalan Skudai. 


Sumber: Harian Metro

Gaji pekerja dijangka naik sehingga 20 peratus



Gaji pekerja di negara ini dijangka naik antara tiga hingga 20 peratus, namun bergantung kepada industri, dengan industri pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan pembuatan yang bakal menyaksikan perubahan lebih besar dalam struktur gaji dalaman. 


Laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023 yang diterbitkan oleh syarikat perkhidmatan sumber manusia terbesar dunia, Randstad dalam laman webnya memberitahu bahawa kenaikan kos sara hidup dan peningkatan inflasi di Malaysia memberikan kesan terhadap kemampuan rakyat untuk membiayai barangan keperluan serta gaya hidup.


Laporan itu memaklumkan, gaji dan kerjaya juga tidak berkembang sepanjang pandemik COVID-19 apabila syarikat-syarikat membekukan pengambilan pekerja, kenaikan gaji dan pembayaran bonus pada 2020.


"Bagi bertindak balas terhadap kenaikan kadar faedah, syarikat sedang menyemak semula penanda aras gaji masing-masing bagi mengekal dan menarik bakat baharu," kata Randstad dalam laporan berkenaan.


Selain itu, laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023 mendedahkan terdapat perkembangan kemahiran dari segi bakat dan kemahiran dalam tiga industri iaitu teknologi, pembuatan dan pembinaan.


"Industri teknologi akan menggunakan pendekatan pengurusan pekerja dan pengambilan pekerja yang lebih cermat, dengan menumpukan kepada permintaan bakat dalam perkomputeran awan, keselamatan siber, kepintaran buatan, Internet Segala-galanya (IoT), realiti maya serta blockchain.


"Permintaan bagi bakat teknikal dan komersial dalam industri pembuatan pula berterusan apabila syarikat berusaha meningkatkan transformasi digital 4.0 dalam automasi, pendigitalan serta pengalaman," kata laporan berkenaan.


Sementara itu, pembangunan hartanah dan infrastruktur dalam industri pembinaan akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi untuk pekerja tempatan, namun boleh menimbulkan masalah dengan jurang kemahiran yang berterusan.


Sumber: Sinar Harian

'Negara Madani apa, tak iktiraf Kelantan & Terengganu untuk salur bantuan banjir' - Ustaz Ahmad Dusuki tempelak slogan baharu Kerajaan Perpaduan



Kepimpinan Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan slogan baharunya, 'Malaysia Madani' yang menggantikan slogan Keluarga Malaysia ketika era pentadbiran Ismail Sabri Yaakob. 


Madani dalam akar bahasa Arab bermaksud kota atau peradaban dan dikaitkan dengan kota suci umat Islam Madinah. Dewan Bahasa dan Pustaka pula menterjemahkan maksud madini sebagai maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. 


Bagaimanapun, pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki menempelak slogan baharu itu dalam hantarannya di Facebook tengah hari tadi disebabkan isu bantuan banjir RM50 juta. 


"Negara Madani apa sehingga tidak mengiktiraf kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang dipilih rakyat bagi menyalurkan bantuan banjir kepada rakyat diberi menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)?" katanya. 



Kenyataan pendakwah agama itu mengundang pelbagai reaksi netizen khususnya mereka yang masih ingat laporan berita dalam lidah rasmi PAS iaitu Harakah Daily turut melaporkan pemberian bantuan bencana (banjir) pada 21 Julai 2022 ketika di era pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. 


Dalam berita berkenaan, kerajaan pusat turut menyalurkan bantuan bencana RM50.6 juta kepada Kelantan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) untuk diagihkan kepada mangsa yang layak. Bukannya disalurkan terus kepada kerajaan negeri. 




"Apa salahnya kalau bantuan disalurkan terus kepada JPP? Yang penting bantuan disampaikan terus kepada rakyat, untuk mengelakkan ketirisan, penyalahgunaan, penyelewengan, pilih kasih dan sebagainya," kata netizen.


"Apa yang ustaz merepek ni? Apa yang penting sekarang, bantuan itu sampai terus kepada rakyat. Fikir positif ustaz, cubalah buka hati kecil dan berlapang dada untuk perkara yang baik. Semoga mendapat hidayah daripada Allah SWT," kata tambah netizen yang lain. 


Sumber: Facebook Ustaz Ahmad Dusuki

(Video) Pelanggan nekad larikan diri kerana tak mampu bayar bil makan RM1,000, tetapi tertinggal handphone



Seorang lelaki nekad melarikan diri kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar bil berjumlah lebih dari RM1,000, selepas makan di sebuah restoran masakan Jepun, Izakaya Japanese Restaurant di Icom Square, Isnin lalu. 

Difahamkan, lelaki berkenaan terdahulu memesan hidangan yang keseluruhannya berjumlah lebih dari RM1,000. Selepas selesai menikmati hidangan, dia cuba membuat pembayaran menggunakan kad debit tetapi gagal. Mungkin kerana bimbang dikenakan tindakan, lelaki itu segera melarikan.


Bagaimanapun, tindakan itu sia-sia kerana telefon bimbitnya tertinggal di restoran. Oleh kerana tiada pilihan lain, dia terpaksa kembali semula ke kedai itu untuk menuntut semula telefon bimbitnya.



Keesokan hari, pihak restoran menyedari lelaki itu datang semula dan mereka segera mengunci pintu dan mendesaknya melunaskan bayaran bil tersebut. 


Melihat ramai kakitangan restoran yang mengerumuninya, lelaki berkenaan akur dan dalam keadaan terketar-ketar, dia cuba membayar menggunakan kad debit. Tetapi kadnya ditolak. Mereka kemudian mengurangkan jumlah pembayaran menggunakan amaun lebih kecil kepada RM750, RM500, RM200 hingalah ke RM100, hasilnya telah sama. 




Setelah berbincang, akhirnya pihak restoran bersetuju untuk memaafkan lelaki itu dan tidak mengenakan sebarang tindakan undang-undang. Malah, telefon bimbitnya turut dikembalikan. 


"Dia sempat menghulurkan tangan untuk berjabat sebelum beredar dengan motosikalnya, Ramai yang bertanya mengenai bangsa lelaki itu. 


Pihak restoran mengakui ramai yang bertanya mengenai bangsa lelaki itu. Tetapi mereka enggan mendedahkan kerana tidak mahu timbul sebarang masalah perkauman. 


"Tiada keperluan untuk mengetahui bangsanya sebab ia hanya akan mencetuskan ketidakharmonian. Kami pilih untuk memaafkan dan berharap orang ramai turut melakukan perkara yang sama," katanya


Sumber: Izakaya Japanese Restaurant

Tular video seorang pelajar dibelasah sekumpulan pelajar lain di Sabah



Tular di media sosial video seorang pelajar sekolah dibelasah tanpa belas kasihan oleh sekumpulan pelajar lain, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Menurut sumber, kejadian itu berlaku di sebuah sekolah menengah di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah. Namun, tarikh dan masa kejadian masih belum dapat dikenalpasti. 


Berdasarkan video berdurasi 23 saat itu menunjukkan, mangsa yang berseorang diri ditumbuk dan diterajang sehingga hampir terjatuh. 


Ketika kejadian, ramai pelajar lelaki yang berada di lokasi yang hanya menyaksikan mangsa dibelasah, tanpa sedikit pun cuba menghalang kumpulan itu dari terus berbuat demikian. 



Motif kejadian tidak diketahui, tetapi netizen bengang melihat mangsa diperlakukan seperti itu dan menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sekumpulan pelajar terbabit. 


"Kes buli ini dikhabarkan berlaku di SM La Salle. Mohon Kementerian Pendidikan dan Menteri ambil tindakan segera," kata netizen.


Sumber: Twitter Napoleon Solo

'Filem Pulau mengandungi babak lucah, tidak ada menteri yang bersuara pun?' - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dakwa menteri tak ambil tindakan, tetapi...



Netizen masih lagi hangat membicarakan isu trailer filem Pulau yang mengandungi unsur soft porn. 


Terbaru, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (PAS) Ahmad Marzuk Shaary mengeluarkan kenyataan yang menghangatkan lagi keadaan apabila dia mendakwa menteri di bawah Kerajaan Perpaduan tidak memberi sebarang reaksi mengenai filem tersebut.


Baca: 'Tengok trailer pun dah rasa berdosa, macam mana Finas boleh luluskan filem banyak soft porn ni?' - Netizen 


Melalui hantarannya di Facebook, Ahmad Marzuk berkata, "Filem Pulau yang akan ditayangkan pada 9 Mac 2023 mengandungi babak lucah dan berlebihan. Tidak ada menteri yang bersuara pun?". 



Kenyataan bekas timbalan menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun dibidas oleh netizen dan menjelaskan permohonan tayangan filem berkenaan telah diluluskan oleh menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum Parlimen dibubarkan. 


"YB, filem ini diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF salah satu agensi Kementerian Dalam Negeri) pada 15 September 2022. YB adalah Timbalan Menteri Agama pada ketika itu. YB lupa ke?" kata Adrian Lim Chee En. 


"Kerajaan tidak perlu jawab, rakyat sudah tolong jawab. Siapa yang luluskan filem ini? Sendiri yang lulus, sendiri yang jadi hero?" kata Muhammad Shafiq. 


"Siapa menteri Dalam Negeri, Menteri Agama dan Menteri Komunikasi pada masa filem Pulau diluluskan? Siapa kerajaan pada masa itu? Siapa yang duduk di barisan kabinet ketika itu? Itulah, tebuk atap lagi, semua benda tak tahu. Menikah online tahu dak?" kata Ariff Kadir. 



Filem Pulau menerima banyak kritikan orang awam selepas pihak Golden Screen Cinemas (GSC) memuat naik video trailer filem itu di Twitter rasminya, berikutan terlalu banyak adegan yang bertentangan dengan budaya di negara ini. 


Ramai pihak menggesa pihak berkuasa bertindak menyekat tayangan filem tersebut pada 9 Mac ini. 


Sumber: Facebook Ahmad Marzuk Shaary

Radzi Jidin cadang wang bantuan BAP terus dimasukkan dalam akaun bank murid, elak kejadian samun



Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sepatunya dimasukkan terus ke dalam akaun bank murid berbanding diserah kepada ibu bapa murid secara bersemuka, kata bekas menteri pendidikan, Radzi Jidin. 


Beliau berkata, cara yang dicadangkannya menjimatkan masa, malah mengelakkan berlaku kejadian samun seperti yang berlaku pada Guru Besar sebuah sekolah rendah di Beranang, menyebabkan wang BAP berjumlah RM109,350 lesap dilarikan penjenayah.


"Ibu bapa juga tidak perlu datang beratur di sekolah dan guru pula tidak perlu menguruskan pemberian bantuan di sekolah. 


"Selain itu, pembayaran ke akaun murid juga memastikan tatacara pengurusan kewangan yang teratur dan selamat," katanya. 


Bagaimanapun, netizen mempunyai pandangan yang berbeza dan menyifatkan cadangan Radzi itu tidak masuk akal kerana bukan semua murid mempunyai akaun bank.


"Bagus idea tu. Patutnya YB buat masa jadi Menteri Pendidikan dulu, barulah tahu berapa peratus murid yang ada akaun bank," kata Asa. 


"Penyerahan BAP secara bersemuka bukan sekadar serahan duit semata-mata. Guru berpeluang berjumpa dengan ibu bapa/penjara dan kongsi isu-isu berkaitan anak-anak di sekolah. Percayalah, mak ayah kepada anak-anak yang suka ponteng pasti menjadi antara yang terawal datang ke sekolah untuk ambil duit bantuan," kata Kusop. 


"Masa dia jadi menteri pendidikan, kenapa tak dipraktikkan benda ni? Bila dah terjadi, baru nak bagi idea. Snang jadi pembangkang dari jadi kerajaan," kata Saedun. 


"Sejak bila murid ada akaun bank? Ini je peluang guru berjumpa dengan ibu bapa. Harap datang ke mesyuarat PIBG pun belum tentu datang," kata Azril. 


Sumber: Kosmo Online

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo