Mohd Irfan yang laporkan hilang sejak Jumaat lalu dikesan berada di Tampoi, Johor



Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu dikesan berada di sekitar Tampoi, Johor. 


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, Mohd Irfan Hakimi dikesan berada di negeri itu berdasarkan rekod tansaksi kad debit miliknya. 


Semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran juga mendapati lelaki itu bersama dengan seorang individu lain yang dipercayai rakannya. 


Motosikal milik Mohd Irfan, jenis Yamaha LC135 turut ditemui di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.


"Jadi, kita percaya pelajar berkenaan pergi menaiki bas menuju ke Johor," katanya. 


Isnin lalu, ahli keluarga pelajar berkenaan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam, berhubung kehilangan Mohd Irfan yang dikatakan tidak pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat. 


Susulan maklumat awal itu, keluarga pelajar berkenaan telah dimaklumkan dan kini dalam perjalanan ke Johor untuk mencari anak mereka. 


Siasatan turut mendapati Mohd Irfan tidak mengalami sebarang masalah peribadi atau berada dalam keadaan murung. 


Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki itu untuk tampil menghubungi balai berhampiran untuk membantu siasatan. 


Sumber: Sinar Harian

'Pengecualian tol 2 hari tindakan bodoh, kerajaan sepatutnya naikkan tol & bahan api agar tidak ramai pulang ke kampung' - Kamal Hussin



Tulisan artikel dari Kamal Hussin yang berkongsi pandangan mengenai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pengecualian tol di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari sempena perayaan Tahun Baru Cina, dianggap sebagai tindakan populis yang bodoh, mengundang pelbagai reaksi netizen.


Menurut anak petani marhaen yang menuntut di Bangi dan cuba menjadi 'bijak' itu berkata, pengecualian tol selama dua hari itu tidak selari dengan kenyataan Anwar yang menasihati penjawat awam untuk tidak leka memandangkan hutang negara telah mencecah RM1.2 trilion. 


"Pertama, inisiatif itu (pengecualian tol) membawa implikasi kewangan RM40 juta, sedangkan pada masa yang sama Anwar menasihatkan penjawat awam supaya tidak leka memandangkan hutang negara telah mencecah RM1.2 trilion. 


"Kedua, selain pengecualian tol itu, adalah dijangka sebanyak 3.8 juta kenderaan akan berada di atas lebuhraya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan yang bermula hujung minggu itu. 


"Setiap kenderaan ini mengunakan petrol atau diesel yang sekali lagi menyaksikan kerajaan menanggung bebanan dengan memberikan subsidi bahan api. 


"Sepatutnya kadar tol dan bahan api dinaikkan semasa cuti perayaan bagi memastikan jumlah yang balik kampung  tidak ramai.


"Dan ketiga, seperti lumrahnya, setiap kali musim perayaan jumlah kemalangan termasuk kehilangan nyawa terus meningkat. Kenaikan kadar tol dan bahan api mungkin akan menyaksikan orang ramai kurang berjalan.


"Justeru, Anwar tidak harus mengambil langkah populis tetapi bodoh itu." katanya. 


Kamal bagaimanapun tidak pasti sama ada keputusan itu selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan atau Anwar sememangnya 'tidak bijak' dan tidak seharusnya menjadi perdana menteri seperti pendapat yang diberikan oleh seorang bekas perdana menteri sebelum ini. 


'Pengecualian tol 2 hari tindakan bodoh, kerajaan sepatutnya naikkan tol & bahan api agar tidak ramai pulang ke kampung' - Kamal Hussin


Kenyataan Kamal itu ternyata mengundang kemarahan ramai di media sosial dan menganggap individu berkenaan mengeluarkan kenyataan yang kurang cerdik. 


"Masa cuti inilah peluang untuk orang ramai pulang ke kampung berjumpa dengan ibu bapa dan sanak saudara. Tengok dari sudut itu sudah cukup. Hubungan kekeluargaan yang erat pun termasuk dalam Madani. Tak perlu nak politikkan dan ekonomikan semua perkara. Berhujah biar padu, jangan mengikut emosi," kata PrimeMate. 


"Anak pertani marhaen yang menuntut di Bangi dan cuba menjadi 'bijak' dengan memperbodoh dan memperkecilkan usaha orang lain yang memberi manfaat kepada orang ramai. Kelihatan memang 'belum bijak'. Memperbodohkan orang lain tidak menjadikan anda bijak," kata Widya. 


"Kamal Hussin punya tulisan ini pun dah nampak siapa yang bodoh. InsyaAllah dengan menitikberatkan kemudahan untuk rakyat akan datang rahmah untuk Anwar dan Malaysia. Ekonomi Malaysia akan lebih mampan bersama Anwar dan Kerajaan Perpaduan," kata Roshdan. 


Sumber: MalaysiaKini

Ibu muda akui tertekan, tekup & cekik bayi sendiri sehingga mati



Seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan ditekup dan dicekik sehingga mati oleh ibunya berusia 20 tahun.


Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu telah ditahan bersama teman lelakinya di kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu. 


Siasatan awal mendapati, suspek yang sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya (penganggur), mendakwa mangsa terjatuh dari sofa sebelum dibawa ke Hospital Cyberjaya pada jam 11.30 pagi untuk mendapatkan rawatan. 


Doktor yang menerima kes itu mendapati, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal, selain mengesan berlaku pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang dipercayai kesan dari penderaan. 


Mangsa bagaimanapun dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan dan kematian mangsa dilaporkan kepada pihak polis.


Bertindak di atas laporan, polis cuba menghubungi ibu mangsa untuk membantu siasatan, tetapi wanita itu gagal dihubungi. Cubaan polis untuk mencarinya di alamat kediaman yang diberi juga tidak berjaya. 


Jam 12.15 pagi, 16 Januari 2023, polis yang mendapat maklumat hasil dari risikan telah menyerbu sebuah flat di Putra Perdana, Dengkil dan menahan suspek. Suami suspek turut ditahan pada hari yang sama. 


Suspek mengaku telah menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana dia mengalami tekanan perasaan berpunca dari masalah rumah tangga serta keluarga. 


Bedah siasat yang dlakukan ke atas mayat mangsa mendapati, terdapat kesan kecederaan di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan, serta kesan calar di pipi kiri dan leher disyaki akibat dicekik. 


"Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka anaknya," katanya. 


Suami suspek yang berusia 20 tahun dibebaskan kerana dipercayai tidak terlibat dalam kes itu berikutan tiada di lokasi semasa kejadian itu berlaku. 


Teman lelaki suspek yang juga pelajar kolej berusia 21 tahun turut menafikan dirinya terlibat. 


Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


Sumber: Harian Metro

'Duit gaji pun bagi kat bini, kalau member tahu memang teruk kena bahan' - Salah ke amalan bagi duit gaji pada isteri?



Baru-baru ini, seorang surirumah berkongsi mengenai amalannya yang menyimpan duit gaji suami seratus peratus. Daripada gaji itu, dia membuat semua pembayaran bil, belanja dapur dan belanja sekolah anak-anak.  


"Saya surirumah, semua urusan bil-bil duit dapur, makan sekolah anak-anak saya yang settlekan. So memang saya yang pegang duit dalam akaun. 


"Apa-apa (barang yang) suami nak beli pun dia bagi je link Shopee kat saya. Saya yang beli guna duit gaji dia tu. 


"Setiap kali pergi kerja, dia (suami) minta duit makan. Bagilah RM10/20. Alhamdulillah, 11 tahun dah kami (berumahtangga)," katanya. 




Namun, cara wanita itu mengundang rasa kurang senang seorang lelaki, Alan (bukan nama sebenar) yang menganggap tindakannya itu keterlaluan dan boleh menyebabkan si suami dibahan oleh rakan-rakan lain. 


"Walaupun kita ni B40, tetapi janganlah sampai taraa ni. Kad bank bini pegang, duit pergi kerja pun bini bagi. Serupa budak sekolah. Nak beli barang pun bagi link kat bini dulu. Kena barang mahal mampuih bini nak luluih beli. 


"Kot member-member tahu kena lagu (macam) ni, memang teruklah kena bahan. Silap-silap boleh masuk wad gila akibat tekanan jiwa," katanya. 




Tetapi, netizen tidak bersetuju dengan pandangan Alan yang dikatakan cuba menimbulkan persespi golongan suami dikongkong oleh isteri. Sedangkan tiada salahnya berbuat demikian kerana isteri lebih pandai berjimat.


"Kena bahan boleh mati ke brader? Lek lek sudah. Aku gaji semua bagi bini aku manage. Aku nak ride ke, nak beli apa pun, aku carilah duit lebih unuk beli benda yang aku nak tu. Yang penting, gaji settlekan komitmen dulu, then simpan. Bukan bini nak sangat pun duit tu, tapi sendiri mau ingat la, kita ni jantan. Duit kalau ada kat tangan, memang ada je benda nak beli," kata Pablo. 


Ă„bang ipar aku 100 peratus duit gaji bagi kat kakak aku. Gaji masuk jer, terus dia transfer semua kat kakak aku. Biasa orang perempuan pandai uruskan duit ngam-ngam sampai hujung bulan. Pernah sekali abang ipar aku nak uruskan, tak sampai setengah bulan duit dah tak ada. Terus insaf member, tak nak pegang duit," kata Syaz. 


"Ramai yang buat macam ni, termasuklah saya. Kad bank gaji, bini pegang. Dia uruskan semua. Elok je sampai sekarang? Anak dah tiga pun. Untuk belanja dan hobi kita, carilah duit tepi," kata Azli. 


Sementara itu yang lain pula berpendapat, setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan rumah tangga masing-masing. Tiada keperluan untuk mengutuk cara orang hanya kerana cara mereka berbeza dengan kita. Apa yang penting, perbuatan itu tidak salah di sisi undang-undang dunia dan akhirat. 

Rohingya akan menjadi beban kekal di Malaysia selagi ada yang mengalu-alukan kedatangan mereka



Pertubuhana Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan etnik Rohingya sebagai bangsa minoriti yang paling malang di dunia kerana dianiaya rakyat dan kerajaan Myanmar menyebabkan mereka cuba melarikan diri ke negara lain dengan merentas laut, namun ramai yang maut ketika dalam perjalanan. 


Menurut Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), lebih dari 3,500 etnik tersebut cuba melarikan diri dengan cara berbahaya itu pada tahun lalu. Bagaimanapun hanya 3,040 pelarian yang berjaya tiba di pesisiran pantai negara jiran, manakala bakinya maut atau hilang di laut. 


Malaysia juga menjadi negara pilihan untuk etnik Rohingya 'memulakan hidup baru'. Ditambah pula ada segelintir pihak yang mengalu-alukan kedatangan mereka tanpa memikirkan tindakan itu akan memudaratkan dan membebankan negara di masa depan. 


Peguam, Norman Fernandez berpandangan, sekiranya perkara itu tidak dibendung dari awal, tidak mustahil etnik Rohingya akan menuntut hak mereka untuk diiktiraf sebagai bangsa Melayu dan mendapat pendidikan di universiti awam tempatan. 


"Selagi ada orang Melayu sanggup menggubal lagu 'Selamat Malam Rohingya' dan menganggap Rohingya sebagai saudara yang malang dan bersedia ke depan mengalu-alukan kedatangan ke Malaysia, memberi segala jenis bantuan, selagi itulah mereka akan datang dan kekal berada di Malaysia. 


"Tidak mustahil dalam tiga ke empat generasi (akan datang), Rohingya di Malaysia yang beragama Islam boleh cakap bahasa Malaysia dan sudah mengamalkan budaya Melayu, akan menuntut untuk diiktiraf sebagai Melayu. Mereka akan menuntut hak belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.


Selain itu, ada yang berpandangan Malaysia menjadi pilihan etnik Rohingya kerana penguatkuasaan undang-undang di negara ini lemah dan mudah dibolosi. 


"Kenapa Malaysia menjadi destinasi pilihan Rohingya? Sebab Malaysia negara Islam, undang-undang lemah, masyarkat tempatan punyai perasaan belas kasihan yang tinggi, penguatkuasa mudah disogok, banyak peluang pekerjaan, bahasa Melayu mudah dipelajari," kata Zizie Adriana. 


Sumber: Sinar Harian

19 individu menjaja jeruk di 'traffic light' disaman polis



Selasa lalu, polis telah mengenakan saman terhadap 19 individu yang didapati masih berdegil menjaja jeruk di persimpangan lampu isyarat di sekitar Seremban dan Nilai. 


Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff berkata, pihaknya menjalankan Operasi Khas Penjaja Jalanan di persimpangan lampu isyarat Gateway Jalan Sungai Ujong, Ainsdale, Jalan Rasah (Tol Seremban-Port Dickson arah utara dan selatan) dan Jalan Dato Muda Linggi, persimpangan lampu isyarat tol Nilai, Nilai Impian (Petron) dan Jalan Nilai-Salak. 


"Hasil daripada operasi ini sebanyak 20 saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan ke atas 19 individu yang menjalankan aktiviti menjaja di lokasi berkenaan," katanya.


Jelas Ahmad Dzaffir, operasi itu dijalankan kerana pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjaja menjual makanan jeruk di persimpangan lampu isyarat. 


"Selain itu, ia dijalankan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.


"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat serta persimpangan jalan raya dihentikan kerana ia membahayakan pengguna jalan raya dan kita akan menjalankan operasi sama dari semasa ke semasa," katanya.


Sumber: Sinar Harian

(Video) 'Baik tak payah buat highway, cukup celaka lah!' - Lelaki bengang 3 safety vehicle tutup laluan lebuhraya



Tular di media sosial video seorang lelaki meluahkan rasa bengangnya kerana tersangkut di lebuhraya disebabkan tiga lorong lebuhraya berkenaan ditutup buat sementara oleh tiga 'safety vehicle' pihak konsesi lebuhraya. 


Difahamkan, video itu dirakam sekitar jam 11.56 pagi dan lelaki berkenaan dalam perjalanan ke hospital untuk menziarahi orang sakit. 


"Hang tau tak tengah hari gampang macam ni aku duduk dalam kereta, aku nak pi Padang Besar kot, hospital.. nak tengok orang sakit. Tapi aku tak tau pukul berapa aku boleh sampai. 


"Yang hangpa tiga bijik ini pun, nak buat jalan tengah-tengah hari. Awat? Tengah malam tak boleh buat ke? Tengah malam tu tak ada la cahaya matahari, tak ada panas, tak ada la jam dan tak ada orang guna jalan. 


"Amboi, aku usahalah nak elak jam guna jalan highway. Last-last sekali highway pun jam. Hangpa tiga-tiga bijik  mai tutup sampai tiga lorong. Baik tak payah buat highway, geram ja. Cukup celaka lah!"




Kata-kata lelaki itu mengundang kemarahan netizen kerana kurang bersabar sehingga mencelakakan petugas-petugas keselamatan lebuhraya yang sentiasa komited melaksanakan tugas bagi memastikan keselamatan lebuhraya terjamin. 


"Lori itu namanya safety vehicles yang bertujuan untuk menutup atau menghalang jalan sementara bagi memudahkan pasukan maintenance team kutip objek-objek asing yang berada di jalan raya atau di tengah-tengah jalan raya berisiko membahayakan penggunanya. 


"Tak adalah nantikau tengah sedap memandu laju, tiba-tiba terlanggar serpihan tayar. Pastu komplen pihak highway tak buat kerja pula," kata Nick Qareem. 


"Tak payahlah nak membebel bro. Kalau nak senang, buat jalan sendiri bawah tanah kalau ada. Apa-apa terus tanam," kata Poya. 


"Pot pet pot pet, tu je taunya. Asyik nak komplen. Kurang ilmu, lain kali belajar tentang fungsi safety vehicle tu. Sedangkan lalu jalan atas jalan kampung pun pokok getah boleh tumbang secara tiba-tiba, inikan pula sampah sarap yang ada di atas lebuhraya tu," kata Mohd Arin. 


"Sedap-sedap dia celakakan orang. Orang tu menjalankan amanah dan tanggungjawab kot. Elok dilempang dengan selipar jamban mulut dia ni," kata Muhammad Haslam Abdul Jalil.




Sumber: Dashcam Owners Malaysia

Abang rogol adik perempuan berusia 15 tahun dihukum penjara 10 tahun, 10 sebatan

FOTO Faizul Azlan Razak



Seorang buruh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam atas kesalahan merogol adiknya. 


Terdahulu, tertuduh berusia 19 tahun mengaku bersalah di atas dua pertuduhan tersebut sebelum Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman. 


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus antara jam 2 hingga 3 petang pada Mei 2022. 


Tertuduh sekali lagi mengulangi kesalahan yang sama di lokasi yang sama pada jam 3.30 petang, 5 November 2022. 


Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan. 


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan pertama dan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua yang akan berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 9 Disember 2022. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 


Sumber: Harian Metro

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo