'Suka saya tegaskan budaya derma dah jadi darah daging ahli PAS' - Pesuruhjaya PAS Perak nafi rasuah pengundi di PRU15



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini sedang dilanda isu pemberian wang tunai semasa PRU15 yang didakwa sebagai rasuah. Namun, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria pula tampil mempertahankan parti bahawa dakwaan itu tidak betul, sebaliknya apa yang diberikan itu adalah derma.


Dalam kenyataannya, Razman menegaskan bahawa budaya derma telah menjadi 'darah daging' perjuangan anggota PAS dan perkara itu hanya dilihat menjadi satu kesalahan bagi mereka yang sudah biasa bergelumang dengan rasuah. 


"Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli PAS. Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.


"Bagi PAS dan ahlinya, setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam," katanya. 


21 Januari lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang tunai oleh PAS kepada pengundi pada PRU15 lalu adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya. 


Kenyataan itu dibuat selepas UMNO Terengganu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman pada 3 Januari lepas. 


Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kemudian membidas kenyataan Hadi yang dianggap sebagai hipokrit. 


"Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah," katanya yang turut meminta Hadi jangan bermain dengan agama yang akan menyebabkan orang ramai tidak menghormati golongan ulama. 


Sumber: MalaysiaKini

Kim Jong-un tubuh skuad baharu untuk pancung kepala rakyatnya yang didapati menonton pornografi



Diktator Korea Utara, Kim Jong-un menubuhkan satu skuad baharu untuk menghukum mana-mana rakyatnya yang didapati menonton ponografi dalam usahanya untuk mengekang pengaruh asing. 


Selain itu, pihak berkuasa di negara itu turut menghapuskan televisyen asing, potongan rambut yang bukan mengikut fesyen ditetapkan dan penganjuran parti hari jadi, menurut seorang bekas rakyat Korea Utara. 


Skuad berkenaan dikenali sebagai 'Gruppa'atau Kumpulan Bukan Sosialis, ditugaskan oleh Pyongyang untuk mengekang pencabulan idealogi rasmi Parti Komunis. 


"Kumpulan itu beroperasi secara halus yang digunakan oleh kerajaan untuk mencapai objektif utama mereka dengan mengawasi setiap rakyatnya dengan teliti," lapor Daily Mail. 


Media asing, terutamanya apa sahaja yang dianggap sebagai 'barat' adalah dilarang sama sekali di Korea Utara kerana dikhuatiri akan mempengaruhi rakyat dan rejim pemerintahannya. Mana-mana individu yang memiliki perbezaan pendapat akan dikenakan hukuman berat. 


Kim Jong-un melihat Korea Selatan sebagai negara di bawah telunjuk Amerika dan sangat sensitif terhadap mana-mana medianya yang merentasi sempadan.


Dengan mewujudkan Gruppa, Kim boleh mengarahkan rakyatnya didakwa atas apa sahaja pertuduhan sama ada pembelotan, pengedaran darah, penyeludupan dan mengemis, sehingga tidak hadir bekerja, kesalahan lalu lintas, berzina, mewarnakan rambut, amalan agama dan termasuk berparti. 


"Ini lebih teruk daripada era Kim Jong Il," kata satu keterangan dalam laporan itu. 


"Kawalan di sempadan juga semakin ketat, lebih banyak pagar kawat berduri telah dipasang. Juga ada arahan untuk terus menembak mana-mana rakyat Korea Utara yang cuba melarikan diri dari sempadan. 


"Saya pernah dengar ada orang ditembak kerana mengedarkan kandungan budaya asing. Ada juga yang dihukum bunuh kerana menonton pornografi dan melacur di tempatnya selepas Kim Jong-un berkuasa.


"Mula-mula mereka akan tengok cara anda berpakaian, jenis muzik yang anda dengar, apa video yang anda tonton, mewarnakan rambut bagai. Rakyat tidak dibenarkan untuk mengadakan parti hari jadi sebagai satu kumpulan," kata sumber. 


Lagu, filem dan rancangan televisyen seperti 'Squid Game' atau 'Crash Landing on You' kadangkala diseludup masuk ke Korea Utara menggunakan thumbdrive.


Jika rakyatnya didapati berbuat demikian, skuad berkenaan akan memutuskan bekalan elektrik ke rumah, turun pangkat di tempat kerja, dipecat atau dihantar ke pendidikan semula atau kem buruh. Dalam kes yang paling ekstrem seperti kesalahan menonton pornografi, pelaku boleh dihukum bunuh oleh skuad penembak. 


Awal Januari 2023, empat pelajar telah dibuang dari universiti dan dipaksa bekerja di lombong arang batu kerana mereka terlalu banyak menonton program televisyen asing yang menggunakan loghat bahasa Korea Utara. 


Sumber: Daily Mail

'Dia ingat penguat kuasa bengap macam dia?' - Lelaki kantoi berkhalwat selepas gagal buktikan wanita dalam bilik adalah adiknya



Ahad lalu, sepasang kekasih berusia 29 dan 28 tahun dicekup oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada jam 1.55 pagi kerana disyaki berkhalwat  di sebuah hotel bajet di Klebang. 


Semasa ditahan, lelaki terbabit sanggup bertegang urat dan bersungguh-sungguh mengatakan kepada pegawai penguat kuasa JAIM bahawa wanita itu adalah adik kandungnya.


Sebelum itu, pegawai penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan meminta pasangan berkenaan memberi kerjasama untuk diperiksa. Namun, mereka terpaksa menunggu lebih kurang 10 minit untuk pasangan berkenaan membuka pintu bilik.


"Ketika diminta menjelaskan situasi berdua-duaan dengan seorang wanita, pemuda itu berkali-kali mendakwa pasangannya itu adalah adiknya. Namun gagal memberikan sebarang bukti atau dokumen berkaitan.


"Selepas hampir lima minit menjelaskan perkara itu, mereka akhirnya mengaku bukan adik beradik dan bermalam di situ untuk berehat," kata Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat. 


Pasangan itu kemudian ditahan untuk membantu siasatna mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkurung hingga mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan muhrim.


Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. 


Pasangan terbabit adalah antara 10 pasangan kekasih yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena Tahun Baharu Cina di kawasan Simpang Ampat dan Rembia, Alor Gajah. 


Sumber: Harian Metro

Penjenayah tertidur (mabuk) di ruang tamu selepas minum arak kepunyaan pemilik rumah



Seorang penjenayah terlena di rumah yang dicerobohi dipercayai gara-gara mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah berkenaan dalam satu kejadian di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, semalam.


Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kehadiran lelaki berusia 41 tahun itu disedari penghuni rumah berusia 65 tahun pada 6.30 pagi yang kemudian membuat laporan polis.


“Ketika kejadian pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak mereka di rumah teres satu tingkat. Semasa masuk ke dalam rumah, suspek dipercayai minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur.


“Sebaik sahaja pengadu bangun tidur awal pagi, dia menemukan suspek terbaring di dalam rumah tidak sedarkan diri. Pengadu lihat terdapat beg kertas mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek,” katanya dalam Kenyataan hari ini.


Hoo berkata lelaki tersebut dipercayai menceroboh masuk rumah berkenaan dengan memanjat pagar dan masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci


Beliau berkata tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod dadah, enam rekod jenayah dan berstatus orang yang dikehendaki polis.


“Suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut menasihatkan penduduk setempat agar lebih berhati-hati dengan sentiasa mengunci rumah bagi keselamatan keluarga.


Sumber: Bernama

Wanita warga emas maut selepas disamun awal pagi tadi

Foto: Redzuan News MPB



Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, polis menemukan mangsa Misah Md Amin, 91, yang tinggal seorang diri dalam keadaan terbaring di bahagian dapur.


Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin Asisten Komisioner Mohd Fadzli Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa kira-kira 3.54 pagi.


"Warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.


"Punca kematian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 20 tahun di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian.


Katanya, suspek yang juga seorang penganggur mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak serta samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

(Video) Pasangan pengantin dikritik sengaja melambatkan majlis, rupa-rupanya...



Setiap individu mempunyai pengalaman yang berbeza ketika majlis akad nikah berlangsung. Ada pihak lelaki yang tersasul menyebut nama, hantaran, gementar dan sebagainya. Perasaan berdebar-debar dan gemuruh pula merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh semua pengantin baru terutamanya bila melafazkan akad nikah dan juga sesi membatalkan air sembahyang.


Terdahulu, beberapa video tular memaparkan beberapa orang selebriti dan juga pasangan-pasangan yang lain sebelum ini kelihatan malu ketika sesi membatalkan air sembahyang. Ada yang memuji sikap sedemikian yang dilihat pandai menjaga adab dan batas. Tetapi ada juga yang mengkritik kerana melambatkan sesi majlis. Tidak kurang juga, ada yang mengatakan sepatutnya sesi demikian dilakukan di luar majlis sahaja.


Terbaharu, tular pula satu rakaman video yang memaparkan pengantin lelaki yang dilihat terketar-ketar ketika mahu menyarungkan cincin kepada pengantin perempuan. Pengantin lelaki mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian. Berbeza dengan pengantin perempuan, pengantin perempuan kelihatan tenang sahaja.


Melihat kepada situasi itu, seorang wanita tampil membantu bagi memudahkan serta mempercepat sesi itu.


Rakaman video sesi berkenaan bagaimanapun dikritik oleh netizen. Mereka menuduh pengantin lelaki jenis yang mengada dan sengaja melambatkan sesi itu yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Sebahagian netizen juga mengkritik pengantin lelaki itu yang cukup mudah apabila mengucup dahi isterinya sebanyak dua kali berbanding sesi menyarung cincin.


Namun ada sumber yang memaklumkan, pengantin perempuan merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), manakala pengantin lelaki pula merupakan dalam kategori yang sama.


"10 saat pertama, aku dah rasa cringe (meluat) gila. Aku paused video, scroll replies. Ada yang kata, mungkin pasangan OKU. Semoga hubungan pasangan ini terus kekal dirahmatiNya," kata Mag.


"Tak baik macam tu. Aku rasa pengantin perempuan macam orang kelainan upaya je. Mungkin kedua-duanya OKU, so normal la kot diorang takut sebab berbeza dengan benda harian diorang," kata Bella Hadidn’t.


Walau apa pun, tidak sepatutnya majlis berbahagia sebegini dikritik, sebaliknya doa-doa yang baik perlu disertakan kepada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga.


Sumber: Bella Hadidn’t, Mag

Warga emas kantoi layan dadah, beri alasan kononnya nak pergi beli roti canai untuk elak ditahan

FOTO Izad Thaqif Hassan



Demi melepaskan diri daripada ditahan, seorang lelaki warga emas sanggup memberi alasan kononnya dia datang ladang untuk membeli roti canai, bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan serbuan di Ladang Kelapa Sawit Kampung Batu Lima, kelmarin. 


Warga emas terbabit terdahulu dilihat sedang menunggang motosikal menuju ke lokasi yang menjadi 'port' penagih dadah untuk mendapatkan dadah bagi melepaskan gian. 


Dia bagaimanapun telah ditahan oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sudah mengepung kawasan itu bermula jam 8 pagi untuk melaksanakan Op Tapis Khas. 


Ketika disoal siasat, warga emas itu memberi alasan dia kononnya dalam perjalanan untuk membeli roti canai. Namun alasannya itu tidak masuk akal kerana lokasi ladang terletak jauh dari jalan utama dan kedai. 


Cubaannya untuk mengkelentong anggota polis gagal menyebabkan dia ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut. 


Penahanan lelaki itu diketahui oleh ahli keluarga yang kemudian datang bertemu dengannya. Isteri dan anak perempuannya sempat berpelukan, menangis sambil bermaafan sebelum dibawa ke lokap IPD menaiki trak polis. Dia juga turut berpesan kepada mereka agar jangan bersedih. 


Selain warga emas berkenaan, ada juga penagih lain yang memberi alasan mahu mencari isteri, rakan, termasuk mendakwa mereka kononnya tersesat jalan. Malah, ada seorang penagih yang ditahan memberitahu dia sengaja datang ke lokasi itu untuk memantau serta menasihati rakannya untuk menjauhi dan tidak menghisap dadah. 


Sumber: Harian Metro

(Video) Kanak-kanak ditemui terperangkap dalam kontena selama 5 hari



Tular di media sosial video penemuan seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Fahim, dalam sebuah kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Rabu lalu. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja operasi perkapalan yang memaklumkan penemuan kanak-kanak berkenaan. 


Berdasarkan laporan, pengadu yang ketika itu sedang menguruskan kapal masuk ke Dermaga Perlabuhan Barat dan memeriksa sebuah kontena kosong, terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena sebelum mendapati seorang kanak-kanak berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalamnya. 


Tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang ditemui dengan mangsa dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan. 


Siasatan lanjut mendapati, kontena tersebut dibawa oleh sebuah kapal MV Integra yang membawa kontena-kontena mengandungi muatan barangan am itu bertolak dari Chittagong, Bangladesh pada 12 Januari lalu dan tiba di Pelabuhan Barat pada 17 Januari. 




Mangsa dipercayai masuk secara haram dalam kontena ketika kapal berkenaan berlabuh di Chittangong. 


Namun, mangsa pula menjelaskan dia sebelum itu sedang bermain bersama rakan-rakannya di Chittagong dan masuk ke dalam kontena yang kemudian terkunci menyebabkan dia terperangkap dalam kontena itu selama enam hari sebelum ditemui pengadu. 


Selepas selesai mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil, mangsa telah dihantar pulang ke negara asal semalam, menggunakan kapal yang sama. 


Sumber: Harian Metro

Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo